Ini juga soalan yang selalu saya temukan sepanjang 21 tahun dalam bidang ini. Adakah wasiat itu wajib dibuat kerana ada pihak yang menceritakan tentang hukum wajib membuat wasiat. Jawapan kepada soalan ini agak teknikal sedikit, namun, saya akan cuba terangkan dengan bahasa paling mudah difahami.

Hukum asal berwasiat itu memang wajib. Ini berdasarkan ayat 180 Surah Al-Baqarah yang bermaksud: “Kamu diwajibkan, apabila salah seorang daripada kamu hampir mati, jika dia meninggalkan harta, membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik sebagai satu kewajipan atas orang yang bertakwa”.

Ada pihak yang mewajarkan juga kewajipan wasiat ini dengan mengemukakan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Seorang muslim yang mempunyai sesuatu yang boleh diwasiatkan tidak sepatutnya tidur selama dua malam berturut-turut melainkan dia menulis wasiat di sisi­nya.”

Dengan dua hujah ini, ada pihak mengatakan bahawa semua orang Islam perlu membuat wasiat kerana hukum­nya wajib. Apa yang mungkin tidak pula dijelaskan ialah selepas turunnya ayat-ayat al-mawarith (ayat-ayat al-Quran berkaitan pewarisan harta) dan hadis-hadis berkaitan, hukum berwasiat itu jadi berbeza mengikut keadaan. Ia bukan lagi wajib dalam semua keadaan.

Kesesuaian keadaan

Hukum asal berwasiat mengikut pendapat jumhur fuqaha ialah sunat. Ia merupakan amalan yang digalakkan pada kadar tidak melebihi satu pertiga daripada harta pusaka.

Walaupun begitu, hukum berwasiat itu boleh menjadi wajib, harus, makruh dan haram mengikut kesesuai­an keadaan, tujuan wasiat dibuat, keadaan individu yang membuatnya serta faktor-faktor lain yang mendorong kenapa wasiat itu dibuat.

Hukum berwasiat itu menjadi wajib apabila ada sesuatu yang tertunggak ke atas pewasiat. Contohnya, seperti ada hutang yang belum diselesaikan atau terdapat hak orang lain di dalam harta pewasiat yang perlu dipulangkan kepada pemilik asalnya.

Wasiat membolehkan waris menyelesaikan segala tanggu­ngan ini agar si pewasiat terlepas daripada tanggungjawabnya.

Hukum berwasiat itu menjadi sunat pula apabila ia dibuat kepada kaum keluarga yang bukan merupakan waris mengikut hukum faraid tetapi terdiri daripada golongan miskin tidak berharta dan memerlukan pembe­laan contohnya anak angkat, anak saudara, bapa saudara (dalam keadaan tertentu), adik-beradik yang tidak mewarisi dan lain-lain golongan.

Ia juga menjadi sunat apabila tujuan pemberian wasiat itu ialah untuk amal jariah seperti kepada sesiapa yang memerlukan, rumah kebajikan, pusat tahfiz, rumah anak yatim, masjid, surau dan institusi lain.

Hukum berwasiat itu juga boleh menjadi harus sekira­nya penerima wasiat itu terdiri daripada sahabat handai atau orang berkemampuan yang mana mereka bukan tergolong daripada kategori yang memerlukan harta seperti kate­gori di atas.

Kekeliruan

Di dalam keadaan tertentu, wasiat boleh pula menjadi makruh sekiranya pemberi wasiat itu miskin dan waris-warisnya juga miskin dan sangat memerlukan kepada harta si pewasiat itu. Dengan memberi wasiat, harta pusaka pewasiat itu akan berkurangan dan jumlah yang dite­rima waris juga berkurangan.

Hukum berwasiat juga boleh menjadi haram di dalam keadaan perkara yang diwasiatkan itu bersifat haram seperti mewasiatkan supaya wangnya diberi kepada kilang arak, rumah urut yang menjadi pusat maksiat atau pusat perjudian. Hukumnya juga haram sekiranya harta itu sendiri adalah haram seperti arak yang bernilai tinggi.

Wasiat seperti ini adalah haram dan tidak menjadi wajib kepada ahli waris untuk melaksanakannya.

Saya pernah bertemu dengan seorang rakyat Malaysia beragama Islam yang kembali semula ke Malaysia selepas berpuluh tahun bekerja dan membina kerjaya di Eropah.

Menurutnya, dia mahu mewasiatkan keseluruhan arak champagne miliknya yang bernilai tinggi kepada kawan-kawan­nya. Harga sebotol arak champagne ini menurutnya ada yang mencecah sehingga belasan ribu ringgit sebotol!

Hukum wasiat ini pastinya haram! Saya tidak perlu membantunya membuat wasiat ini kerana saya akan dianggap bersubahat dalam keadaan itu.

Para pembaca yang dikasihi, adalah jelas penerangan ringkas ini bahawa hukum berwasiat itu bukanlah wajib dalam semua keadaan. Yang menjadi masalah ialah apabila ada pihak yang hanya menceritakan hukum berwasiat itu wajib tetapi tidak pula menerangkan hukum sunat, makruh, harus dan haram di atas.

Saya ada bertemu banyak penulisan yang dibuat oleh pihak yang mempromosikan wasiat dengan bermain isu hukum wajib berwasiat ini tetapi penera­ngannya sangat mengelirukan kerana tidak dijelaskan bahawa hukum wajib ini telah dinasakhkan selepas turunnya ayat-ayat mawarith dan hadis-hadis berkaitan.

Dari segi istilah nasakh bermaksud mengangkat hukum syarak dengan dalil yang datang terkemudian darinya. Jadi, ta­nya diri sendiri apakah hukum yang terkait dengan kita jika kita berwasiat? Wajib, sunat, harus, makruh atau haram?