Malah, adiknya tidak pernah balik menjenguk dan mengambil berat tentang ayah mereka yang terlantar uzur bertahun-tahun lamanya. Sekarang ayahnya telah meninggal dunia dan adik ini muncul kembali untuk menuntut haknya ke atas harta pusaka ayah.

Pastinya ada kisah di sebalik merajuknya si adik dengan ayahnya yang biasanya berjela-jela panjang. Saya tidak berhasrat menghurai kisah merajuk ini sebaliknya hanya ingin memberi tumpuan kepada persoalan hak anak derhaka itu kepada harta pusaka.

Tiga sebab

Di dalam Islam, hanya ada tiga sebab sahaja yang menyebabkan waris sepatutnya dapat harta pusaka tetapi terhalang. Sebab itu ialah pembunuhan, berlainan agama dan hamba sahaya. Pas­tinya situasi hamba sahaya tidak wujud hari ini.

Bagi situasi pembunuhan pula, jika dapat dibuktikan bahawa waris itu telah bertindak dengan sesuatu cara yang boleh disahkan Mahkamah Syariah sebagai tindakan yang menyebabkan kematian si pemilik harta, maka Mahkamah Syariah boleh mengeluarkan perintah yang anak atau waris itu tidak berhak mewarisi harta pusaka.

Contoh, anak telah meletak racun di dalam minuman ayah untuk membunuhnya. Anak itu tidak layak menerima harta pusaka walaupun dia adalah waris mengikut hukum faraid.

Sebenarnya, sama ada anak itu derhaka atau tidak, dosa itu adalah antara mereka dengan ibu bapa mereka. Dari pandangan hukum syarak, anak atau sesiapapun waris yang berhak mengikut hukum faraid, hak mereka ke atas harta pusaka hanyalah terhijab kerana tiga sebab di atas.

Namun, ada perbincangan yang menarik mengenai konsep pembunuhan di sini. Adakah pembunuhan secara tidak ­sengaja seperti si suami memandu laju dan cuai yang menyebabkan kemalangan dan isteri terbunuh itu dianggap ­sebagai pembunuhan juga dan si suami tiada hak ke atas harta pusaka isteri?

Ada juga kes beberapa tahun lepas, si suami dituduh membunuh isterinya dengan cara melanggarnya dengan kereta. Mahkamah sivil yang membi­carakan kes bunuh itu melepaskan suami dari tuduhan membunuh.

Tetapi Mahkamah Syariah yang membicarakan kes pusaka si isteri membuat keputusan bahawa si suami tidak layak me­nerima harta pusaka isteri kerana isteri meninggal dunia akibat perbuatan suaminya.

Berlainan agama juga ­menyebabkan pewarisan itu terputus. Contohnya, si anak telah murtad dan memeluk agama lain. Bila ayah yang beragama Islam meninggal dunia, anak itu tidak layak menerima harta pusaka ayah.

Tuntutan si ayah

Saya bertemu satu kes yang unik. Ayah menghilangkan diri selama berpuluh tahun. Si ibu yang bertungkus-lumus membesarkan anak lelaki tunggalnya hingga berjaya sebagai ahli perniagaan. Disebabkan suaminya tidak dapat dikesan, si ibu memohon fasakh dan diluluskan Mahkamah Syariah.

Ditakdirkan, pada satu hari, si anak yang hobinya menunggang motosikal berkuasa tinggi telah kemalangan dan meninggal dunia. Dia masih bujang tetapi harta yang ditinggalkan bernilai hampir RM8 juta. Ketika tahlil arwah, tanpa diduga muncul si ayah yang telah berpuluh tahun ghaib tadi.

Si ibu sangat marah dan memaki hamun bekas suaminya. Si ayah hanya berdiam diri tidak membalas apapun kata kesat yang dilemparkan ke atasnya.

Dia hanya berbunyi, “Saya hanya mahu tuntut hak saya ke atas harta pusaka sebagai ayah.” Makin marahlah si ibu kerana merasakan adalah tidak adil si ayah mendapat harta pusaka kerana dia gagal menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang ayah dan suami.

Saya ditanya si ibu dan jawapan saya ialah ayah ini memang berhak mendapat harta pusaka anak lelakinya sebanyak 2/3 bahagian atau RM5.3 juta. Bahagian ibu ialah 1/3 bahagian atau RM2.7 juta sahaja.

Tambah memburukkan ke­adaan, si ayah datang bersama seorang wanita dan seorang kanak-kanak lelaki yang diperkenalkannya sebagai isteri dan anaknya.

Ini bermakna, RM5.3 juta nilai harta yang bakal diterimanya dari pusaka anaknya atau apa-apa baki dari harta itu selepas dibelanjakannya, akan menjadi milik isteri baharu (1/8 bahagian) dan anak lelaki bersama isteri baharu (7/8 bahagian) jika si ayah pula meninggal dunia selepas itu.

Makin kuatlah raungan si ibu bila saya bercerita mengenai pembahagian harta pusaka anaknya.

ARTIKEL ini adalah perkongsian pengalaman dan pengetahuan peribadi penulis. Ia tidak boleh diulang cetak dalam apa bentuk atau bagi apa tujuan sekalipun kecuali dengan kebenaran penulis. Penulis berhak mengambil tindakan undang-undang kepada mana-mana pihak jika berlaku pelanggaran hak ini.