Walaupun usaha kesedaran dan pendidikan berjalan dengan agresif sejak beberapa tahun kebelakangan ini, namun ramai lagi yang masih tidak faham.

Penulisan saya kali ini tidak akan menyentuh berkenaan prosedur pengeluaran wang KWSP akibat kematian pencarum kerana pembaca boleh mendapat maklumat lebih tepat dari KWSP. Saya hanya akan menyentuh mengenai hukum bagi penama sahaja.

Penama yang dilantik di dalam KWSP hanya bertindak sebagai Wasi iaitu pentadbir sahaja. Ini selaras dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ke-49 pada 19 September 2000 yang menetapkan bahawa wang KWSP yang disimpan ialah pusaka dan wajib diagihkan kepada waris mengikut Hukum Faraid dan penama hanya bertindak sebagai Wasi.

Bagi urusan pengeluaran memang KWSP akan membayar kepada penama tetapi penama itu bukanlah orang yang berhak ke atas wang tersebut. Dia bertanggungjawab mengagihkan semula wang itu kepada waris mengikut Hukum Faraid lain. Namun, sedihnya ada banyak kes yang dijumpai, penama sapu habis!

Siapa berhak?

Lina (bukan nama sebenar) pernah bertanya saya ­situasi ini. Arwah suaminya, Saiful (bukan nama sebenar) me­ninggalkan wang KWSP hampir RM500,000. Semasa mula ­bekerja, Saiful masih bujang jadi dia meletakkan nama ibunya, Hamidah sebagai penama.

Seingga ke saat meninggalnya, Saiful masih belum menukar penama KWSP kepada isterinya. Pasangan ini mempunyai seorang anak lelaki berusia enam tahun, Syafiq. Ayah Saiful telah lama meninggal dunia.

Lina bertanya saya siapakah yang berhak ke atas wang KWSP tersebut kerana ibu mertuanya mendakwa keseluruhan wang itu ialah miliknya kerana anak­nya telah meletakkan namanya sebagai penama.

Wang KWSP itu ialah pusaka yang wajib diagihkan kepada waris-waris Saiful iaitu Hamidah (4/24 bahagian), Lina (3/24 bahagian) dan Syafiq (17/24). Oleh kerana Syafiq masih di bawah umur, maka bahagian Syafiq sepatutnya diserahkan oleh Hamidah untuk dipegang secara amanah kepada Lina.

Hamidah sebenarnya keberatan menyerahkan wang tunai hampir RM400,000 bahagian milik Lina dan Syafiq kepada Lina kerana dia bimbang ­disalahgunakan. Dia bimbang Lina akan joli katak dan lupa daratan dengan berbelanja sakan.

Jadi, Hamidah meminta supaya Lina tuntut balik segala perbelanjaan yang dikeluarkan untuknya dan Syafiq dengan mengemukakan resit-resit pembelian sebagai bukti.

Saya simpati dengan Lina. Wang RM400 000 itu haknya dan Syafiq tetapi dia ibarat mengemis kerana terpaksa menuntut daripada ibu mertua­nya. Hamidah pula berkeras enggan menyerahkan duit itu kepada­nya.

Jika Hamidah berdegil, saya mencadangkan supaya Lina menggunakan perkhidmatan peguam bagi menuntut haknya di mahkamah. Tetapi, sebagai menantu yang baik, Lina enggan buat begitu kerana katanya sudahlah ketiadaan suami, jika menyaman ibu mertuanya, maka Syafiq juga akan terputus hubungan dengan neneknya!

Adik-beradik masuk campur

Cabaran yang lebih besar lagi menanti Lina ialah jika Hamidah meninggal dunia dengan keseluruhan wang KWSP Saiful itu berada di dalam akaunnya dan bercampur dengan wang peribadinya.

Waris yang berhak ke atas akaun Hamidah itu pula ialah 11 orang adik-beradik Saiful yang lain. Adik-beradik inilah yang menasihatkan ibu mereka supaya menguruskan wang KWSP Saiful sedemikian rupa.

Bayangkan betapa susahnya Lina ingin menuntut haknya dari waris seramai itu dan berfikiran seperti itu pula. Lina termenung panjang bila saya menceritakan senario ini kepadanya.

Di sinilah pentingnya semua penama bagi apa jenis harta asalkan statusnya ialah penama perlu faham bahawa dia hanyalah wasi sahaja. Agihkanlah semula wang itu kepada waris yang berhak secepat mungkin kerana dibimbangi jika wasi itu meninggal dunia dalam ­keadaan wang itu bercampur di dalam akaun, waris-waris wasi pula akan termakan harta batil yang bukan hak mereka.

Hamidah mungkin merasakan dia tidak akan termakan wang KWSP bahagian Lina dan Syafiq tetapi apa jaminan dia akan urus dengan profesional dan jujur? Bila tiba-tiba melihat skrin mesin ATM dengan baki akaun enam angka, agak-agak boleh tak menepis bisikan-bisikan ablasa di telinga? Tepuk dada tanyalah iman.

Artikel ini adalah perkongsian pengalaman dan pengetahuan peribadi penulis. Ia tidak boleh diulangcetak dalam apa bentuk atau bagi apa tujuan sekalipun kecuali dengan kebenaran penulis. Penulis berhak mengambil tindakan undang-undang kepada mana-mana pihak jika berlaku pelanggaran hak ini.