Saya baru nak melangkah masuk ke dalam kereta selepas selesai satu program dialog. Seorang anak muda dalam anggaran umur 20 tahun menegur saya. “Tuan, boleh tak saya ambil masa tuan sekejap nak tanya soalan.” tanyanya. Kelihatan ada kekusutan dalam fikirannya.

Kami duduk sebentar di tepi tembok parkir kereta. “Ya apa yang saya boleh bantu?” Memang menjadi kebiasaan apabila tamat sesuatu program saya akan sentiasa ada sahaja soalan-soalan ‘pm tepi’ yang saya temui kerana persoalan tentang harta dan pusaka ini sangat banyak kerana situasi setiap orang berbeza-beza.

Nazri, si anak muda memulakan ceritanya. Ayahnya, Mustafa ialah seorang pengurus di sebuah bank. Ibunya Sharifah pula seorang setiausaha di sebuah syarikat. Kedua-duanya bekerjaya dan mereka ada 5 orang anak, Nazri si anak sulung sedang menuntut di sebuat IPT dan ada empat orang adik perempuan lain yang kesemuanya berumur di bawah 18 tahun dengan yang paling bongsu berumur 5 tahun. Keluarga ini hidup bahagia dan segalanya nampak sempurna.

Sehinggalah Mustafa didiagnos dengan kanser paru-paru dan meninggal dunia selepas itu. Oleh kerana semua anak-anak sedang membesar dan banyak perbelanjaannya, arwah tidak banyak meninggalkan wang simpanan. Rumah dan kereta pun masih berhutang dengan bank. Saya rasa ini situasi yang banyak dilalui oleh pasangan yang mempunyai anak masih belajar. Kebanyakan dari pendapatan kita akan majoritinya digunakan untuk menampung belanja pembelajaran dan sara hidup anak-anak.

Namun Mustafa ada menjadi peserta takaful semasa hidupnya dan telah menamakan Sharifah sebagai penerima hibah takafulnya. Nazri menarik nafas panjang-panjang sambil merenung parit di depan kami. Seakan ada sesuatu berat yang hendak diceritakannya. Saya memegang bahunya sambil senyum mengangguk tanda simpati dan bersedia mendengar cerita yang lebih lanjut.

“Ibu bagitahu dia dapat tunai hampir RM 1 juta dari syarikat  takaful. Saya ingatkan kehidupan kami akan ok lepas tu. Dapatlah hutang rumah dan kereta dijelaskan dan kehidupan kami akan berjalan seperti biasa. Ayah pernah bagitahu saya dia sudah pesan kat ibu kalau apa-apa berlaku kat dia, duit takaful tu gunalah untuk menjelaskan hutang-hutang kereta dan rumah, beri sedikit kepada nenek yang sedang sakit di kampung sebab selama ini sebagai anak sulung memang ayah ada menyumbang setiap bulan kepada nenek dan bakinya guna untuk tanggung kami adik-beradik sampai habis belajar.” Nazri menyambung ceritanya.

Namun tidak disangka-sangka, Sharifah berubah selepas mendapat wang tunai RM 1 juta itu. Dia mula kerap balik lambat dan anak-anak mula diabaikan.  Sebagai seorang setiausaha, Sharifah banyak berurusan dengan pelbagai pihak untuk bosnya. Antaranya ialah seorang warga asing persis ala hero Bollywood yang sedang membuat dekorasi dalaman ( interior design ) untuk pejabatnya. Mereka kerap berjumpa untuk berbincang dan akhirnya Sharifah jatuh hati dengan kata-kata menggoda si hidung mancung bermata hijau yang hadir mengisi kekosongan hatinya.

Semasa mabuk bercinta , ibarat ‘Shah Rukh’ dan Kajol bernyanyi berpegangan tangan di kaki gunung Everest, pasangan ini semakin intim dan romantik. Sharifah rasa seperti muda kembali walaupun jarak umurnya dan ‘Shah Rukh’ hampir 25 tahun. Malam-malamnya dipenuhi dengan sembang whatsap bersama jejakan idaman sambil berguling-guling di atas katil. Anak-anak yang memerhati mengesan perubahan ibu mereka.

Nazri berhenti bercerita dan tunduk kembali memerhati kerikil di dalam parit di depan kami. Saya rasa simpati dengan anak muda ini. Saya biarkan dia mengumpul kekuatan sebelum meneruskan cerita. Mengumpul kekuatan, Nazri menyambung cerita.

Akhirnya Sharifah bernikah dengan Shah Rukh dengan diwalikan ayahnya. Walaupun keluarga Sharifah cuba menghalangnya kerana bimbang niat sebenar Shah Rukh berkahwin dengan Sharifah sebab jarak umur yang terlalu jauh, tetapi cinta mereka terlalu utuh dan tidak bisa digugat.

Sharifah dan Shah Rukh honeymoon di Eropah. Kota cinta Paris, metropolitan London, gunung ganang putih bersalji Switzerland di jelajahi. Anak-anak di rumah ditinggalkan terpinga-pinga. Semua ini berlaku dalam tempoh kurang setahun  sahaja selepas kematian bapa mereka. Anak-anak mulai terabai dan kehabisan wang untuk perbelanjaan persekolahan dan sara hidup mereka. Sharifah benar-benar hanyut dalam dunia fantasi bersama hero Bollywoodnya.

Nazri menambah lagi, dalam diam Sharifah rupanya menampung gaya hidup Shah Rukh. Ratusan ribu duit manfaat takaful yang diterimanya dari polisi arwah Mustafa telah dibelanjakan untuk honeymoon, holiday, membeli kereta baru dan apartment secara tunai di atas nama Shah Rukh. Dia juga telah berhenti kerja dan melabur dalam perniagaan Shah Rukh. Segala-galanya habis dalam masa kurang setahun dari tarikh pernikahannya dengan Shah Rukh.

“Sekarang ibu banyak termenung dan berdiam diri. Kami takut nak tegur ibu sebab takut kena marah. Shah Rukh sudah hilang tak dapat dikesan. Rumah dan kereta arwah sudah tidak berbayar. Surat bank tuntut hutang berlambak. Mungkin tak lama lagi kami kena keluar pulak dari rumah pusaka tu. Kereta pun bila-bila masa aje nak kena tarik. Hampir semua duit manfaat takaful tu dah habis. Saya dan adik-adik nak belajar pun dah tak ada duit!” mata Nazri merah, merah kerana menahan linangan air mata.

Allahuakbar. Kesian sungguh saya dengar kisah keluarga Nazri. Hibah takaful yang diharap dapat membantu rupanya disalahgunakan. Tetapi tak banyak yang dapat dibantu kerana apabila Sharifah menerima manfaat takaful itu sebagai penerima hibah, wang itu sudahpun menjadi milik dia. Terserahlah kepada dia bagaimana wang itu dibelanjakan. Dalam kes ini, Shah Rukh yang untung.

Anak-anak di rumah ?

Si nenek yang mengharap bantuan kewangan di kampung ?

Semua pesanan Mustafa kepada Sharifah tiada makna apa-apa kerana baik dari segi undang-undang mahupun dari segi hukum syarak, ia tidak mengikat.

Kepada peserta takaful dan juga perunding takaful , renungkan baik-baik. Ini kisah benar. Hibah takaful tidak menyelesaikan semua masalah malah mungkin memudaratkan waris seperti di dalam kisah Nazri ini. Ada kaedah lain sebenarnya yang boleh mengatasi cabaran ini. Ikuti penulisan saya seterusnya, In shaa Allah.

 

 

 

 

 

Penulis ialah Ariffin Sabirin, Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah Shoppe Berhad, sebuah syarikat amanah patuh syariah yang beroperasi di bawah Akta Pemegang Amanah 1949.

*Penulisan ini adalah hakmilik eksklusif penulis. Jika diulangsiar dan diubahsuai oleh mana-mana pihak tanpa kebenaran penulis, penulis mempunyai hak penuh untuk mengambil sebarang tindakan undang-undang yang bersesuaian bagi melindungi hak intelektualnya.