Perbincangan hangat kami berkisar tentang bagaimana untuk melancarkan lagi pelaksanaan dokumen perancangan harta secara syariah seperti hibah, wasiat dan harta sepencarian di peringkat Mahkamah Syariah supaya ia boleh diterima dengan mudah di Pejabat Ta­nah atau agensi lain bagi tujuan pendaftaran tanah atau harta lain di atas nama penerima yang berhak.

Pembaca perlu faham di Semenanjung, selepas kematian, waris perlu berhadapan dengan cabaran sistem perundangan syariah dan sivil. Bidang kuasa Mahkamah Syariah bersifat substantif iaitu menentukan bahawa segala hibah, wasiat dan harta sepencarian yang dibuat si mati adalah sah mengikut hukum syarak dan undang-undang syariah. Mahkamah Syariah juga menentukan siapa waris yang berhak ke atas harta pusaka mengikut hukum faraid.

Dokumen ini pula perlu dilaksanakan mengikut kaedah yang tepat oleh para peguam syariah yang membawanya ke Mahkamah Syariah. Peguam perlu mengenal pasti apakah jenis harta yang terlibat di dalam urusan hibah, wasiat dan harta sepencarian dan undang-undang berkenaan yang mengikat harta tersebut.

Ini bagi memastikan segala perintah yang bakal dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah itu bertepatan dan boleh dilaksanakan. Jika perintah itu tidak selari dengan undang-undang berke­naan, maka ada kemungkinan ia tidak dapat dilaksanakan.

Undang-undang berubah mengikut masa

Cabaran yang lebih besar menanti semua pemain industri ialah kerana undang-undang itu sendiri berubah mengikut masa dan sangat dinamik. Contohnya cadangan pindaan Akta Pembahagian Pusaka Kecil 1955 yang telah diluluskan oleh Majlis Tanah Negara dan bakal dikuatkuasakan tidak lama lagi.

Bidang kuasa Mahkamah Tinggi Sivil dan Pejabat Pusaka Kecil pula dalam urusan harta pusaka adalah bersifat prosedur iaitu untuk menentukan bagaimana harta itu ditadbir oleh Pentadbirnya mengikut undang-undang yang diguna pakai.

Pembaca perlu faham bahawa urusan berkaitan pewarisan tidak selesai dengan sekadar membuat dokumen semasa hidup sahaja. Ia merangkumi proses perundangan rumit selepas kematian. Pentadbir yang dilantik biasanya dalam kalangan ahli keluarga seperti pasangan dan anak-anak akan berdepan dengan situasi yang sukar jika mereka tidak faham isu-isu teknikal undang-undang ini. Itulah sebabnya proses pusaka itu memakan masa bertahun-tahun lamanya.

Pembaca sekalian, ada pihak di luar sana yang uar-uarkan bahawa urusan harta ini mudah dan boleh diselesaikan jika sudah dibuat dokumen hibah, wasiat atau harta sepencarian semasa hidup. Dengan menawarkan ‘caj murah’ mereka mendidik masyarakat supaya fokus kepada menyediakan dokumen semata-mata. Menurut mereka tiada keperluan untuk perkhidmatan profesional yang ‘mahal’ bagi melaksanakan urusan ini. Mereka tidak faham implikasi proses selepas kematian.

Pastikan organisasi yang dipilih bertauliah

Saya menyeru kepada rakyat Malaysia supaya membuat siasatan terhadap organisasi yang berkenaan. Oleh kerana tiada undang-undang khusus untuk mengawal industri ini, sesiapa sahaja yang belajar serba sedikit berkaitan ilmu ini boleh mendakwa mereka sebagai ‘pakar’ dan menawarkan perkhidmatan berkenaan.

Pastikan anda menyiasat latar belakang organisasi ini di Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Siasat nama individu yang menonjolkan diri sebagai pemimpin syarikat ini sama ada mereka berdaf­tar sebagai pemegang saham atau pengarah. Kenapa ini pen­ting? Kerana jika nama mereka berdaftar maka mereka mempunyai akauntabiliti terhadap segala tindakan organisasi itu.

Tetapi jika nama mereka tidak wujud, mereka boleh pada bila-bila masa cuci tangan dan melepaskan diri daripada sebarang tanggungjawab.

Siasat juga modal berbayar dan prestasi kewangan organi­sasi itu di Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Jika modal berbayar­nya sangat minimum dan pres­tasi kewangannya juga tidak dilapor atau kurang memberangsangkan, maka anda perlu merasa ragu-ragu sama ada organisasi ini akan wujud lagi pada masa akan datang ketika waris anda memerlukan perkhid­matan mereka.

Risiko besar yang dihadapi waris anda jika memilih organi­sasi sebegini ialah terdapat kemungkinan besar bahawa dokumen yang anda buat sekarang tidak boleh dilaksanakan. Waris anda akan terkapai-kapai kebingungan dan ingin merujuk organisasi berkenaan pula ia mungkin sudah tidak wujud. Siapa yang susah? Niat anda bagus untuk merancang harta tetapi hasrat itu tidak tercapai kerana menganggap buat dokumen sahaja sudah mencukupi.

Pilihan yang jelas kepada anda? Pilihlah syarikat amanah profesional berdaftar seperti Wasiyyah Shoppe Berhad yang mempunyai trek rekod dan integriti korporat tinggi atau peguam-peguam syariah atau sivil berdaftar yang mempunyai pengetahuan tinggi berkaitan aspek teknikal undang-undang berkaitan. Ingatlah urusan harta sangat teknikal dan ia tidak selesai dengan hanya menyediakan dokumen semasa hidup sahaja.

Artikel ini adalah perkongsian pengalaman dan pengetahuan peribadi penulis. Ia tidak boleh diulang cetak dalam apa bentuk atau bagi apa tujuan sekalipun kecuali dengan kebenaran penulis. Penulis berhak mengambil tindakan undang-undang kepada mana-mana pihak jika berlaku pelanggaran hak ini.