Jika pembaca amati, tullisan di kolum ini semakin lama semakin menyentuh isu-isu teknikal kerana pada andaian saya. Isi asas seperti perlukah harta berpindah milik baru hibah itu sah atau adakah hibah itu melarikan diri daripada faraid, telah terjawab dan difahami.

Jika isu-isu ini tidak difahami lagi, maka perbincangan yang selanjutnya akan menjadi lebih sukar lagi . Walaupun begitu, saya akan cuba sedaya upaya untuk menggunakan bahasa yang tidak terlalu teknikal  supaya masyarakat lebih memahaminya.

Minggu ini, saya akan sentuh isu adakah selepas hibah dibuat, pemberi hibah telah hilang hak menikmati manfaat ke atas harta itu. Ini juga merupakan kebimbangan yang biasa saya temui dalam kalangan ibu bapa ingin membuat hibah.

“Kalau saya dah hibahkan rumah-rumah sewa, bolehkah masih menikmati hasil sewaan rumah-rumah itu sebab selama ini dengan hasil sewaan itulah saya menyara kehidupan”, begitulah kata mereka.

HIBAH SEMPURNA

Perkara asas yang perlu difahami ialah apabila sesuatu hibah itu telah sempurna segala rukun dan syaratnya, maka dari segi hak ke atas harta yang dihibahkan sudah pun berpindah milik daripada pemberi kepada penerima ketika hidupya pemberi hibah dan rukun serta syaratnya terlaksana.

Maka, tidak timbul isu hibah itu dipindah milik selepas mati. Hibah berkuat kuasa ketika pemberi hibah masih hidup.

Ada yang masih keliru apabila mengatakan hibah boleh berlaku selepas mati kerana geran ditukar milik selepas pemberi hibah meninggal dunia. Tukar nama dalam geran semasa hidup atau selepas mati bukan keperluan rukun hibah.

Itu sekadar proses mengikut Kanun Tanah Negara 1965. Hibah itu berkuat kuasa apabila rukun dan syaratnya berkuat kuasa. Sengaja saya berulang kali sebut ayat ‘rukun dan syarat’ hibah kerana ramai yang keliru.

Kepada soalan di atas, jawapannya ialah pemberi hibah masih boleh menikmati manfaat fizikal (mendiami harta) atau manfaat ekonomi ( menikmati hasil daripada harta ) selagi dia masih hidup walaupun harta itu telah dihibahkan.

Kaedahnya ialah dengan melaksanakan hibah bersyarat balasan. Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Shafie dan Imam Ahmad bersepakat bahawa hibah seperti ini adalah sah akad dan syaratnya. Cuma mereka berselisih pendapat tentang jenis dan bentuk akad tersebut.

SYARAT YANG DIBENARKAN

Syarat yang tidak bercanggah dengan tujuan hibah seperti ,

”Ayah hibahkan rumah ini kepada kamu dengan syarat kamu benarkan ayah tinggal di rumah ini selama hayat ayah” atau “ Ayah hibahkan rumah ni kepada kamu dengan syarat hasil sewaan rumah ini kamu benarkan ayah untuk menikmatinya selagi ada hayat ayah”.

Ini adalah antara syarat yang dibenarkan dan berkuat kuasa dengan syarat penerima hibah bersetuju.  Jika penerima hibah tidak bersetuju, maka ia tidak boleh dikuat kuasakan.

Syarat yang tidak dibenarkan pula ialah syarat yang bercanggah dengan tujuan hi3bah, contohnya pemberi hibah meletakkan syarat supaya harta itu tidak boleh dijual oleh penerima hibah selama-selamanya atau jika ingin dijual hanya boleh dijual kepada orang tertentu pada harga tertentu sahaja.

Prinsip utama yang mesti difahami ialah semua rukun hibah dan syarat  itu mesti telah sempurna ketika pemberi hibah masih hidup. Apabila telah sempurna sepenuhnya dan penerima hibah bersetuju dengan syarat yang diletakkan maka hibah itu adalah sah dan syaratnya mengikat.

Di Malaysia sudah ada beberapa kes, di mana hibah diletakkan syarat dan kelulusan oleh Mahkamah Syariah sebagai sah.

Jadi ibu bapa tidak perlulah bersusah hati apabila ingin membuat hibah. Saya faham akan kerisauan ini kerana saya jumpa banyak kes di seluruh negara apabila dibuat (sebenarnya mereka melaksanakan pindah milik di pejabat tanah) anak halau ibu bapa dari rumah .

Ada juga kes anak menjual rumah yang dihibah kepada mereka (sekali lagi ibu bapa sebenarnya telah memindah milik di pejabat tanah) sehingga ibu bapa kehilangan tempat tinggal.

PIHAK PENGETAHUAN

Sebenarnya, walaupun rumah telah dihibahkan, kita masih boleh menetap di rumah itu. Walupun tanah kebun telah dihibahkan, kita masih boleh menikmati hasil kebun ittu.

Cuma, pastikan hibah tersebut diletakkan syarat seperti itu dan pastikan juga pihak yang melaksanakan hibah bersyarat ini adalah pihak yang berpengatahuan dan berpengalaman.

Apa jadi jika penerima hibah tidak bersetuju dengan syarat berkenaan ketika akad ingin dibuat? Senang saja. Janganlah hibah kepada dia hibahlah kepada pihak lain yang setuju menerima syarat hibah itu.

Apa jadi pula kalau penerima hibah gagal melaksanakan tanggungjawab seperti syarat yang ditetapkan selepas akad hibah sempurna ? Senang juga jawapannya.

Jika hibah itu diberikan kepada anak kandung, cucu kandung, cicit kandung atau nasab keturunan kita, maka batalkan saja hibah itu. Tetapi, jika hibah diberikan keapda pihak lain selain nasab keturunan, maka ia tidak boleh dibatalkan.

 

Artikel ini adalah perkongsian pengalaman dan pengetahuan peribadi penulis. Ia tidak boleh diulangcetak dalam apa bentuk atau bagi apa tujuan sekalipun kecuali dengan kebenaran penulis. Penulis berhak mengambil tindakan undang-undang kepada mana-mana pihak jika berlaku pelanggaran hak ini.