“Haram buat hibah ni ! Bercanggah dengan hukum faraid !” Tegas Hj Mokhtar sambil menepuk meja. Saya tenang sambil memerhatikan reaksi Kamariah, anak perempuannya Haiza dan Haliza yang jelas ‘geger’, kata orang Jawa.

Berdepan dengan situasi waris yang ‘hostile’ bukanlah suatu perkara yang asing bagi saya. 22 tahun penglibatan saya dalam membantu orang Islam merancang harta dan mengurus pusaka di Malaysia, saya sudah masak dengan pelbagai kerenah waris.

Cerita Suhaimi.

Suhaimi, suami Kamariah telah membuat dokumen hibah semasa hidupnya. Dia menghibahkan rumahnya kepada kedua-dua anak perempuannya sambil melantik Kamariah sebagai wakil penerima hibah dan penjaga harta itu kepada kedua-dua anaknya yang masih di bawah umur 18 tahun.

Ibubapa Suhaimi sudah lama meninggal dunia. Suhaimi hanya ada seorang abang iaitu Hj Mokhtar. Hubungan mereka kurang mesra kerana sejak kecil Suhaimi dijaga neneknya manakala Hj Mokhtar dibesarkan ibubapa kandung mereka.

Suhaimi menceritakan situasinya kepada saya selepas satu sesi ceramah saya beberapa tahun lepas. Dari segi hukum faraid, jika Suhaimi mati, waris-warisnya ialah Kamariah 3/24 bahagian, Haiza dan Haliza masing-masing mewarisi 8/24 bahagian setiap seorang dan Hj Mokhtar 5/24 bahagian.

Suhaimi mahu menghibahkan rumahnya kepada anak-anak kerana mahukan anak-anak kecilnya itu dan isterinya juga mempunyai tempat untuk berteduh dan berlindung. Maka saya pun membantunya membuat hibah ke atas rumah itu.

Tentangan Hj Mokhtar.

Apabila dijelaskan mengenai perancangan yang telah dibuat oleh Suhaimi semasa hidupnya, Hj Mokhtar menentang keras.

“Saya tak setuju dengan hibah ni. Harta pusaka mesti difaraidkan. Saya dah rujuk dengan pelbagai ustaz dan mereka semua kata hibah ini haram sebab melarikan diri dari faraid. Saya akan lawan!.” Bentak Hj Mokhtar sambil melangkah keluar dari perbincangan itu. Kamariah kelihatan gusar manakala kedua-dua anaknya, Haiza dan Haliza yang masih bersekolah menengah itu terkebil-kebil melihat reaksi bapa saudara mereka yang sebenarnya kurang mereka kenali kerana jarang berjumpa.

Tak faham apa beza ‘harta’ dan ‘harta pusaka’.

Selepas melalui perbicaraan, kes ini selesai dengan keputusan Mahkamah Syariah menyebelahi Kamariah. Hibah itu telah disahkan kerana kesemua rukun dan syaratnya terlaksana. Bukan sahaja Hj Mokhtar malah ramai orang awam termasuklah juga yang ‘intelektual’ terkeliru kerana menyangkakan “hibah itu melarikan diri dari faraid.” Pada mereka harta wajib diagihkan mengikut hukum faraid.

Orang yang mengutarakan hujah ini jelas tidak faham apa perbezaan di antara ‘harta’ dan ‘harta pusaka’. ‘Harta’ selagi hidupnya pemilik harta, bebas dibuat apa sahaja oleh pemilik harta. Semua akaun bank, kenderaan, rumah, tanah, saham syarikat, saham koperasi, semuanya adalah ‘harta’ milik kita selagi kita masih hidup. Kita mempunyai penguasaan dan kita bebas melupuskan harta itu selagi kita masih hidup. Yang wajib diagihkan kepada waris ialah ‘harta pusaka’ bukannya ‘harta’ !

Duit dalam bank yang milik kita, kita nak sedekahkan atau kita nak habiskan berbelanja selagi kita masih hidup, itu hak kita. Rumah yang kita miliki, kita nak jual atau nak hibahkan, selagi hidup itu hak kita. Hibah itu berkuatkuasa semasa hidup berbeza dengan wasiat yang kuatkuasanya selepas mati. Semua rukun dan syarat hibah itu berkuatkuasa semasa hidup cumanya pindahmilik harta dalam geran boleh berlaku pada bila-bila masa selepas akad hibah itu sempurna.

Berhujah bahawa hibah melarikan diri dari hukum faraid, sama seperti mengatakan bahawa harta-harta milik kita hari ini semasa kita masih hidup, kita sudah tiada hak dan penguasaan ke atasnya. Hujah “hibah melarikan diri dari faraid” ini mempunyai kesan yang sama seolah-olah mengatakan bahawa wang di dalam akaun bank kita hari ini tidak boleh kita belanjakan kerana ia hak waris. Rumah yang kita miliki sekarang tidak boleh kita jual atau hibah kerana ia hak waris. Jadi apa gunanya kita bersusah-payah mengumpul harta sekiranya kita tiada hak langsung ke atasnya. Kita masih hidup tetapi harta kita sudah menjadi ‘harta pusaka’ yang waris berhak ke atasnya ? Di sinilah ramai orang Islam di Malaysia yang terkeliru bezanya antara ‘harta’ dan ‘harta pusaka’.

Apa yang menjadi hak waris ialah ‘harta pusaka’ iaitu harta yang masih berdaftar di atas nama kita KETIKA KEMATIAN kita sahaja. ‘Harta pusaka’ wajib diagihkan kepada waris mengikut hukum faraid kerana itu sudah menjadi hak mereka. Namun ‘harta’ yang sudah dihibah, dijual atau wang di dalam akaun bank yang sudah dibelanjakan ketika hidupnya pemilik harta, itu bukan ‘harta pusaka’ kerana ia adalah hak pemilik harta untuk melupuskannya semasa dia masih hidup. Waris tiada hak ke atas ‘harta’ yang telah dilupuskan. Jadi di mana hujahnya mengatakan ‘hibah melarikan diri dari faraid’ ?

 

*Penulis ialah Hj Ariffin Sabirin, Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah Shoppe Berhad yang berpengalaman selama 22 tahun di dalam perancangan harta dan pengurusan pusaka orang Islam. Artikel ini ialah hak penulis dan penulis mengizinkan ia diulangsiar oleh mana-mana pihak bagi tujuan pendidikan masyarakat. Walaubagaimanapun sekiranya artikel ini dimodifikasi atau digunakan bagi kepentingan komersil pihak lain tanpa kebenaran penulis, penulis mempunyai hak penuh untuk mengambil tindakan undang-undang yang bersesuaian.