Bila kecoh dikatakan tentang harta pusaka tertunggak bernilai RM 70 bilion, ramai rakan-rakan bertanya kepada saya adakah  benar nilaian RM 70 bilion ini dan apakah  faktor-faktor yang menyebabkannya ?

Pertama sekali, saya suka nak jelaskan bahawa tiada satupun organisasi di Malaysia yang mempunyai statistik yang tepat tentang nilai harta pusaka yang tertunggak ini. Dan ‘tertunggak’ juga memerlukan definisi tepat iaitu sama ada ia ‘tertunggak’ kerana menanti proses perbicaraan pusaka selesai atau ia ‘tertunggak’ kerana langsung tidak diuruskan oleh waris.

Bagi kes yang telah dibuat permohonan pusakanya dan menanti proses perbicaraan atau menunggu Surat Kuasa Mentadbir dan Perintah Pembahagian dikeluarkan,  ejensi berkenaan seperti Pejabat Pusaka Kecil, Mahkamah Tinggi Sivil atau Amanah Raya Berhad mungkin  mempunyai indikasi jumlah harta pusaka yang akan dibicarakan kerana nilaian harta telah dimasukkan atau dibuat oleh Jabatan Penilaian Harta.

Tetapi bagi harta pusaka yang langsung tidak diuruskan / tidak dipedulikan  oleh waris, tiada siapapun tahu secara tepat berapa nilai harta pusaka itu termasuklah waris sendiri ! Malah ada antara mereka langsung tidak tahu apa harta pusaka yang ditinggalkan oleh ibubapa mereka. Jadi mengatakan nilai harta pusaka tertunggak ini RM 70 bilion dan statistiknya ada pada pihak tertentu pada saya adalah satu ‘overstatement’.

Walaupun begitu, sememangnya isu harta pusaka tertunggak ini ialah isu nasional yang serius dan semakin menekan sosio ekonomi orang Islam. Semenjak 22 tahun lepas, saya istiqomah  mendidik masyarakat bahawa ianya adalah satu kerugian kepada waris, keluarga, ummah dan negara jika isu ini tidak ditangani segera dan dibiarkan berlarutan. Masyarakat perlu ada kesedaran yang tinggi tentang isu ini dan Kerajaan juga perlu ada langkah-langkah proaktif bagi membantu masyarakat menangani isu ini.

Faktor penyebab.

Apakah sebenarnya faktor yang PALING UTAMA menyebabkan berlakunya isu harta pusaka tertunggak ini di Malaysia ? Dari pengalaman, saya akan mengatakan dengan jelas dan pasti  bahawa faktor pertama dan paling utama kenapa isu ini berlaku ialah kerana ketidakfahaman dan ketidaksedaran pemilik harta dan waris itu sendiri  tentang isu ini.

Semasa hidup, pemilik harta tidak pernah merasakan ianya satu kepentingan untuk mereka merancang harta mereka melalui hibah, wasiat, harta sepencarian atau amanah kerana mereka sering beranggapan bahawa waris-waris akan mudah sahaja untuk bermuafakat tentang agihan harta pusaka. “Lagipun faraid kan ada!” Ini ayat yang selalu saya jumpai.

Bukan juga satu perkara ganjil bila saya temui masyarakat yang mengatakan merancang harta dengan menyediakan dokumen-dokumen di atas, melalui syarikat amanah profesional seperti Wasiyyah Shoppe Berhad atau peguam ialah satu pembaziran wang dan tidak memberi apa-apa manfaat kerana mereka boleh saja menjimatkan belanja dengan membuat sendiri dokumen-dokumen ini tanpa bimbingan dari pihak pakar.

Pemikiran waris-waris.

 

Waris-waris yang saya temui kebanyakannya pula merasakan tiada keperluan harta pusaka itu diuruskan cepat. Harta itu tidak ke mana dan lambat-laun mereka akan tetap dapat juga bahagian masing-masing. Lagipun kesemua waris terlalu sibuk dengan kerjaya dan keluarga masing-masing sehingga tidak boleh meluangkan masa untuk membuat urusan dokumentasi di ejensi-ejensi berkenaan.

Ada pula waris yang kata  ‘tanah kubur masih merah’ dan jika sesiapa membangkitkan isu ini sejurus selepas  kematian, orang itu akan dituduh kebulur sangat nakkan harta pusaka.

Jadi semua waris berdiam diri sehinggalah ada di antara mereka meninggal dunia dan waris-waris kepada waris yang meninggal dunia itu pula berhak ke atas bahagian faraid asal yang berhak oleh ibubapa mereka. Jumlah waris kini semakin ramai dan semakin rumit untuk diselesaikan. Kampung Baru Kuala Lumpur adalah contoh di mana wujud bilangan waris yang sangat ramai sehingga beratus orang ke atas sebidang tanah pusaka yang hanya beberapa puluh meter persegi sahaja.

Waris berbalah.

Faktor lain yang menyumbang kepada isu ini ialah waris tidak faham hukum berkaitan harta pusaka dan hukum faraid. Akibatnya mereka sering berbalah tentang hak masing-masing dan proses pengurusan pusaka menjadi lebih panjang dan mencabar. Silaturahim antara waris terjejas. Institusi kekeluargaan musnah. Perbalahan menjadi lebih teruk bila waris faraid yang terlibat bukan sahaja di kalangan pasangan dan anak-anak malah adik-beradik simati, ibubapa simati, datuk simati  dan  dalam keadaan tertentu anak saudara simati pun kadang-kadang terlibat.

Proses perundangan harta pusaka yang rumit.

Ramai waris juga merasakan proses perundangan harta pusaka ini rumit dan tidak mudah untuk dilalui. Bagi orang Islam rakyat Malaysia, proses perundangan harta pusaka mereka akan melibatkan dua jurisdiksi undang-undang iaitu undang-undang sivil dan undang-undang syariah.

Mahkamah syariah mempunyai bidang kuasa untuk menentukan siapakah waris yang bakal menerima berapa banyak harta ( sijil faraid ) atau siapakah penerima hibah yang berhak menerima harta yang dihibahkan ( kes hibah ) atau penerima wasiat 1/3 yang terdiri dari bukan waris ( kes wasiat ). Mahkamah syariah juga menentukan isu pengesahan waris, harta sepencarian dan isu-isu lain yang berkaitan hak seseorang.

Mahkamah tinggi sivil, pejabat pusaka kecil dan amanah raya berhad pula adalah ejensi pentadbiran pusaka yang akan mengeluarkan surat kuasa mentadbir dan perintah pembahagian mengikut nilai harta pusaka yang ditinggalkan.

Dari pengalaman saya, dalam banyak keadaan waris-waris tidak tahu pun bagaimana nak bermula dan bingung dengan proses yang rumit ini.  Tiada siapa membimbing mereka dan ini  menyebabkan mereka menangguhkan proses pengurusan harta pusaka sehingga ia tertunggak bertahun-tahun lamanya.

 

Kos pengurusan harta pusaka yang mahal.

Selain dari faktor-faktor yang saya sebut di atas, faktor kos juga menjadi pertimbangan waris apabila mereka mahu mengambil inisiatif menguruskan pusaka. Seorang waris pernah bercerita dengan saya yang mereka terpaksa membayar fi buka fail sehingga beberapa ribu ringgit sebelum kerja di mulai oleh pihak berkenaan. Selepas selesai pula harta pusaka itu ditolak sehingga RM 20,000 sedangkan harta pusaka yang ditinggalkan bapanya hanya RM 140,000.

Memanglah ada kos yang perlu dikeluarkan jika khidmat pihak ketiga digunakan. Namun jika pemilik harta itu sendiri merancang dengan baik semasa hidupnya, kos ini dapat diminimakan atau ‘dihilangkan’. Di Wasiyyah Shoppe Berhad, kami memberi perkhidmatan pengurusan pusaka ini secara percuma je untuk waris bagi pelanggan-pelanggan kami yang telah merancang harta mereka semasa hidup.

 

 

 

 

 

 

 

Penulis ialah Ariffin Sabirin, Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah Shoppe Berhad, sebuah syarikat amanah patuh syariah yang beroperasi di bawah Akta Pemegang Amanah 1949.

 

*Penulisan ini adalah hakmilik eksklusif penulis. Jika diulangsiar dan diubahsuai oleh mana-mana pihak tanpa kebenaran penulis, penulis mempunyai hak penuh untuk mengambil sebarang tindakan undang-undang yang bersesuaian bagi melindungi hak intelektualnya.