Beberapa tahun lepas saya juga pernah ditemui oleh penduduk Kampung Baru dan mereka bertanya tentang penyelesaian kepada permasalahan mereka yang sejak begitu lama tidak berkesudahan.

Pada saya, perkara asas yang perlu diselesaikan oleh penduduk Kampung Baru ialah penyelesaian pewarisan. Tanah yang diwarisi oleh generasi ketiga, keempat atau kelima ini kini jumlah warisnya mencecah puluhan atau ratusan orang bagi satu lot tanah yang keluasannya mungkin hanya beberapa ribu kaki persegi sahaja.

Di dalam sistem perunda­ngan kita berkait urusan pusaka, semua waris berhak ke atas bahagian masing-masing walaupun bahagiannya mungkin hanya beberapa inci persegi sahaja!

WARIS

Bayangkan jika tanah seluas 8,000 kaki persegi diwarisi sehingga 100 waris. Jika ada apa-apa cadangan pembangunan ke atas tanah itu, ia memerlukan seorang waris sahaja untuk tidak bersetuju, maka ia tidak boleh dilaksanakan.

Tanah di tengah-tengah kawasan segi emas itu memang sangat bernilai dan berpotensi dimajukan. Tetapi kepada para pemaju hartanah, jika mereka ingin membangunkan apa-apa projek, tidak berbaloi untuk mereka membangunkan seke­ping tanah seluas 8,000 kaki persegi sahaja.

Mereka memerlukan beberapa keping tanah di satu lokasi yang sama. Jika sekeping tanah sahaja melibatkan 100 waris, beberapa keping tanah pasti­nya melibatkan beberapa ratus orang waris yang semuanya mempunyai pendirian sendiri dan sukar dimuafakatkan.

Banyak pemaju tidak mahu terlibat di dalam proses permuafakatan waris-waris kerana ia memakan masa dan belanja yang banyak. Akhirnya tanah terbiar tidak diurus.

Bagaimana untuk mengatasi masalah waris berlapis yang ramai seperti ini? Caranya mudah sahaja iaitu dengan menyelesaikan urusan pusaka itu secepat mungkin sebaik sahaja berlaku kematian pemilik harta.

Percepatkan proses peng­urusan pusaka ini sama ada di Pejabat Pusaka Kecil (bagi nilai harta kurang RM2 juta) dan Mahkamah Tinggi Sivil (bagi nilai harta melebihi RM2 juta).

Dalam proses perbicaraan ini, daripada pengalaman saya amat biasa berlaku penyerahan hak yang mana ada antara anak-anak tadi dengan sukarela melepaskan haknya kepada seorang anak sahaja.

Jadi geran baharu yang keluar selepas proses pusaka ini selesai hanyalah di atas nama seorang anak tadi. Ini menge­lakkan wa­ris-waris kepada anak yang lain mempunyai hak ke atas tanah datuk mereka.

TANAH KUBUR

Malangnya, orang kita masih lagi mahu melihat warna tanah kubur sebelum memulakan prosiding harta pusaka. Selagi tanah kubur masih berwarna ‘merah’ mereka enggan me­nguruskan harta pusaka kerana kononya gelojoh sangat nakkan harta pusaka.

Apa yang ramai di antara kita tidak sedar ialah semakin lambat proses pengurusan pusaka dibuat ada kemungkinan tiga anak tadi meninggal dunia dan waris-waris mereka pula akan mewarisi bahagian mereka.

Kasih sayang dan hubungan rapat antara tiga beradik tadi memungkinkan mereka bertolak-ansur dan menyerahkan bahagian kepada mana-mana adik beradik yang sesuai. Tetapi, apabila yang mewarisi tanah itu semuanya kini dalam kalangan sepupu (anak-anak kepada tiga beradik tadi), kebarangkalian tolak ansur dan kompromi itu sudah hilang.

Kenapa jadi begini? Kerana di antara kita adik-beradik yang membesar bersama mungkin saling menyayangi dan menghormati antara satu sama lain tetapi anak-anak kita jarang berjumpa sesama sepupu mereka.

Mungkin berjumpa setahun sekali atau mungkin juga lima tahun sekali sahaja bila ada tahlil keluarga. Adakah sepupu yang kurang mengenali satu sama lain ini boleh berkompromi tentang harta? Nak berkompromi tentang basuh pinggan semasa kenduri keluarga pun kadang-kadang bermasam muka dan berkira-kira.

Nasihat saya kepada ma­syarakat, segerakanlah urusan pusaka supaya tidak berlaku masalah waris berlapis. Kita bermegah kerana datuk nenek kita memiliki banyak hartanah. Tetapi apakah ertinya jika tanah yang bernilai jutaan ringgit itu tidak mampu memberi apa-apa sumbangan kepada peningkatan sosioekonomi anak cucu.

Artikel ini adalah perkongsian pengalaman dan pengetahuan peribadi penulis. Ia tidak boleh diulang cetak dalam apa bentuk atau bagi apa tujuan sekalipun kecuali dengan kebenaran penulis. Penulis berhak mengambil tindakan undang-undang kepada mana-mana pihak jika berlaku pelanggaran hak ini.