Artikel minggu ini adalah sambungan kepada artikel minggu lepas iaitu tentang hibah bagi harta yang masih dalam pinjaman, bercagar dengan bank atau pembiaya.
Semua orang mempunyai impian untuk memiliki rumah sebagai tempat perlindungan insan-insan yang kita kasihi. Namun harga rumah bukan murah ketika ini. Ia mencecah sehingga ratusan malah jutaan ringgit.
Menjadi amalan juga kepada rakyat Malaysia untuk membeli rumah secara pinjaman bank dan bukannya dengan tunai. Berapa ramai sahajalah di antara kita yang mampu membeli rumah secara tunai?
Menjadi amalan juga bahawa bank atau pembiaya perlukan rumah itu dicagarkan semula kepada mereka sebagai jaminan kita akan membayar semula pinjaman perumahan seperti yang telah dipersetujui.
Rumah RM850,000
Selama 21 tahun di dalam industri ini, saya telah berjumpa banyak kes yang mana pasangan dan anak-anak bawah umur menjadi mangsa keadaan. Saiful (bukan nama sebenar) antara kes yang saya temui.
Saiful seorang jurutera berjaya dalam industri minyak dan gas. Gajinya mencecah RM30,000 sebulan. Isterinya, Fauziah seorang suri rumahtangga sepenuh masa dan tanggungjawab utamanya ialah menguruskan rumahtangga dan persekolahan anak tunggal mereka Yati (sembilan tahun).
Ibunya, Rahmah masih hidup manakala ayahnya telah lama meninggal dunia. Saiful mempunyai seorang adik lelaki, Sazali.
Dengan kelayakan kewangannya, Saiful membeli sebuah rumah berharga RM850,000 di Kuala Lumpur. Hobi Saiful ialah menunggang motosikal berkuasa tinggi dan satu hari ditakdirkan Saiful kemalangan dan meninggal dunia pada 2012.
Mengikut hukum faraid, waris yang berhak ke atas harta pusaka Saiful ialah Fauziah (3/24), Yati (12/24), Rahmah (4/24) dan Sazali (5/24). Namun, demikian ibunya pula meninggal dunia pada 2013. Ini bermakna bahagian Rahmah (4/24) itu diwarisi pula sepenuhnya oleh Sazali yang kini berhak ke atas 9/24 daripada harta pusaka Saiful.
Saiful tiada sebarang polisi takaful dan tidak banyak pula meninggalkan tunai kerana sebagai jurutera muda berusia 38 tahun ketika meninggal dunia, walaupun pendapatannya tinggi tetapi dia lebih banyak liabiliti berbanding aset.
Oleh kerana rumah pusaka Saiful yang didiami oleh Fauziah dan Yati itu masih mempunyai pinjaman bank, maka Fauziah terpaksa bertungkus-lumus memastikan bayaran ansuran bulanan rumah sebanyak RM5,000 sebulan itu dibayar mengikut jadual supaya rumah itu tidak dilelong.
Fauziah seorang suri rumahtangga dan tiada pendapatan tetap. Dengan linangan air mata Fauziah bercerita tentang susah payah kehidupan selepas kematian suaminya.
Berkongsi hak
Apabila Fauziah ingin menguruskan pusaka Saiful pada 2017, Sazali berkeras mahukan bahagiannya 9/24 dari rumah tersebut ditebus oleh Fauziah jika mahukan dia melepaskan hak itu.
Nilai rumah itu pada 2017 ialah RM1.2 juta. Ini bermakna secara prinsipnya, Sazali perlu dibayar RM450,000 untuk bahagian itu. Walaupun, Fauziah kemudiannya berjaya menuntut harta sepencarian separuh dari nilai rumah, namun dia tetap perlu menebus bahagian Sazali sebanyak RM225,000 jika dia mahukan Sazali melepaskan bahagian itu.
Dia tiada wang sebanyak itu. Akhirnya nama Sazali dimasukkan sebagai satu daripada waris yang mewarisi 9/24 bahagian rumah itu.
Rumah itu tetap perlu disambung pembayaran bulanan kepada bank dan walaupun Sazali salah seorang pemilik sah, hakikatnya yang membayar masih lagi Fauziah berseorangan.
Awal 2019 lalu, Sazali pula meninggal dunia akibat kanser. Sazali meninggalkan seorang isteri dan tiga anak lelaki. Mereka mewarisi hak sebanyak 3/24 (isteri) dan 21/24 (tiga anak lelaki).
Fauziah kini berdepan satu lagi isu kritikal. Rumahnya kini berkongsi pula hak di antara dia, Yati, isteri Sazali dan tiga anak lelaki Sazali. Jika dia ingin menebus bahagian mereka, dia perlu membayar isteri Sazali RM28,125 dan setiap anak lelaki Sazali RM65,625 (itu pun jika mereka setuju untuk bahagian mereka ditebus).
Yati kini bertanya: “Mak kenapa sepupu Yati pun ada hak ke atas rumah arwah ayah ini?”. Fauziah hanya tunduk dan menangis.
Kepada para suami di luar sana, elakkan pasangan anda menghadapi nasib seperti Fauziah. Sebagai bukti kasih sayang anda kepada mereka, hibahkanlah rumah itu (walaupun masih bercagar) kepada pasangan dan anak-anak supaya mereka dapat mewarisi rumah secara mutlak. Kasihanilah pasangan dan anak-anak anda.
Share via :
boleh jelaskan kenapa isteri sazali masih perlu membayar insuran bulanan utk pinjaman rumah tersebut? Sekiranya loan dan nama rumah atas nama sazali, sepatutnya pihak insuran yang akan membayar baki hutang. tolong betulkan saya jika saya salah
Assalamualaikum tuan . isteri saya ada sebuah rumah penama ada 2 isteri saya dan ibunya. Ibunya telah meninggal dunia 10thn yg lalu . isteri saya anak tunggal. Bolehkah isteri saya buat hibah harta bercagar bahagiannya keatas rumah itu atas nama saya. Rumah masih dlm loan bank HSBC. Ansuran bulanan saya yg byr kerana isteri tidak bekerja.
Waalaikumsalam..hibah bercagar boleh dibuat ke atas rumah tersebut..jika tuan berminat ingin membuat perancangan ke atas harta tersebut.. sila isi butiran di link di bawah, wakil syarikat akan menghubungi tuan dalam masa yang terdekat.
http://wasiyyahshoppe.com.my/hubungi-kami/