MAMA, KENAPA NENEK HALAU KITA DARI RUMAH ?

Sambil memegang teddy bear kesayangannya, Mira 4 tahun memegang wajah Aishah, mamanya. Dengan lembut, Mira mengelap titisan air mata yang mengalir di pipi Aishah. Aishah menunduk kepalanya untuk mengelak dari renungan Mira. Dia tidak mahu Mira melihatnya bersedih. Dia bimbang emosi anak kecil itu terjejas dengan pengalaman trauma yang sedang mereka lalui. Aishah cuba sedaya upaya  mencuba membendung emosinya. Kenderaan yang lalu lalang di hadapan mereka di  perhentian bas malam itu seakan halilintar yang merobek-robek hati Aishah.

Jauh di sudut hati, Aishah rasa tertekan dan perasannya sangat sedih sekali. Dia tidak boleh menipu dirinya sendiri. Beg bajunya dan Mira yang terkaku dingin di atas bangku perhentian bas, direnungnya dalam-dalam. Tidak pernah terlintas di fikirannya Latifah, ibu mertuanya tergamak menghalaunya dan Mira dari rumah milik Malek, suaminya.

Kisah cinta Aishah dan Malek.

Aishah terkenang peristiwa enam tahun lepas di tepi pantai. Dia dan Malek merenung ombak-ombak ganas yang memukul pantai di musim tengkujuh itu. “Betulkah awak nak membina kehidupan bersama saya?” Tanya Aishah sambil merenung serius Malek.

“Ya saya nekad untuk menjadikan awak teman hidup saya. Apa sahaja halangan dan cabaran kita akan lalui bersama. Saya akan lindungi awak !” Tegas Malek meyakinkan Aishah. Aishah terharu tetapi dalam masa yang sama bangga kerana Malek sedia memperisterikannya.

Wajah ibu Malek, Latifah yang garang menerpa di dalam kotak fikirannya. Aishah ingat dengan jelas betapa Latifah menolak mentah-mentah cadangan Malek memperisterikannya. Keluarga Malek orang berada dan terkenal di negeri pantai timur itu. “Langkah mayat aku dulu kalau kau nak nikah dengan anak nelayan miskin ni!” Bentak Latifah di depan Malek dan Aishah.

Latifah sebenarnya sudahpun memilih calon menantu sesuai dari keluarga berada juga untuk  dijodohkan dengan anak lelaki kesayangannya itu. Walaupun Latifah mempunyai seorang lagi anak lelaki iaitu abang Malek, Kamal, Malek adalah anak kebanggaannya kerana kecemerlangan di dalam  pelajaran dan berkaliber. Kamal pula hanya sekadar bersekolah setakat SPM dan lebih banyak membuang masa berpeleseran di kampung.

Namun Malek membantah dan nekad untuk bernikah dengan Aishah, gadis pilihannya. Malek seorang jurutera muda berjaya yang bekerja di sebuah syarikat konglomerat di Kuala Lumpur. Dia membeli sebuah rumah yang selesa untuk mereka sebaik bernikah. Rumahtangga mereka semakin ceria selepas kelahiran Mira. Segala-galanya kelihatan sempurna untuk mereka.

Kerana gaji Malek tinggi, maka Aishah hanya berfungsi sebagai suri rumahtangga menguruskan anak dan keluarga. Semenjak bernikah, Malek sudah 6 tahun tidak balik ke kampung kerana masih ‘berlaga angin’ dengan ibunya Latifah. Malek juga tidak berkenan dengan perangai Kamal yang selalu melaga-lagakannya dengan ibunya. Malek tahu abangnya penagih dadah dan gangster di kampung.  Dia tahu Kamal juga sedang cuba mempengaruhi ibunya untuk semua harta keluarga diserah kepadanya. Malek pun tak kisah sebenarnya tentang hart aitu.

“Mama, kenapa nenek halau kita dari rumah ” Soalan Mira menyentap Aishah dari lamunannya. Hujan gerimis yang turun ibarat hatinya yang meruntun sedih. Aishah pulang ke realiti semasa. Disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari. Malek meninggal dunia akibat kemalangan ketika mahu ke tempat kerja. Aishah kini hilang tempat bergantung. Cabaran Aishah untuk menguruskan harta pusaka Malek pun bermula.

 

Siapa waris mengikut hukum faraid kepada Malek ?

Waris mengikut hukum faraid kepada Malek ialah  Aishah ( 3/24 bahagian ) , Mira ( 12/24 bahagian ), ibunya Latifah ( 4/24 bahagian ) dan Kamal ( 5/24 bahagian ). Sedar dengan kedudukannya sebagai menantu bukan pilihan, Aishah seperti dapat menjangka apa cabaran yang bakal dilaluinya.

Malek ada melanggan polisi takaful ketika hayatnya sebelum 2013 dan meletakkan nama Aishah sebagai penama. Namun selepas Jadual 10 IFSA 2013 yang membenarkan  peletakan nama benefisiari sebagai penerima hibah diperkenalkan, Malek tidak dinasihati dan dimaklumkan oleh perunding takafulnya. Status Aishah sebagai penama kekal ketika kematiannya. Ini bermakna walaupun manfaat takaful diterima oleh Aishah, menjadi kewajipan kepadanya untuk mengagih semula waris mengikut hukum faraid di atas.

KWSP ? Semasa mula bekerja, Malek masih bujang dan sebagai anak soleh yang taat kepada ibunya, meletakkan nama ibunya Latifah sebagai penama. Wang ini akan diterima oleh Latifah sebagai penama dan Latifah juga bertanggungjawab mengagihkannya kepada waris seperti di atas. Tetapi awal-awal lagi Latifah sudah ‘declare’ duit itu miliknya sebab bila Malek meletakkan namanya ia bermakna Malek nak memberi duit itu kepada Latifah. Adakah Latifah akan menyerahkan bahagian hak Aishah dan Mira ?  Beranikah Aishah berdepan dengan Latifah untuk menuntut bahagiannya dan Mira ?

Bagaimana dengan kedudukan rumah Malek ? ia juga adalah harta pusaka Malek sama seperti manfaat takaful dan KWSP di atas. Latifah dan Kamal ‘menyerang’ Aishah dan menghalau mereka dua beranak dari rumah tersebut kerana dakwa Latifah dan Kamal, rumah itu milik Malek dan kerana Malek sudah mati, maka mereka berdualah yang berhak ke atas rumah itu.

 

Dihalau dari rumah.

Aishah yang tidak tahan dengan tekanan, makian dan cercaan Latifah dan Malek, mengemas beg dan terus meninggalkan rumah itu. Dalam fikiran Aishah dia mahu balik ke rumah ibubapanya di kampung dan menyelesaikan isu pusaka ini dari sana sahaja. Dia perlu berpijak di bumi nyata dan meneruskan kehidupan demi Mira.

Kisah ini dicerikan kepada saya oleh Aishah beberapa tahun lepas ketika saya berceramah di negeri pantai timur ini. Ketika pertemuan kami itu, Mira sudahpun berumur 15 tahun dan kes pusaka Malek masih belum selesai. Aishah ‘lost’ kerana tiada siapa yang membimbingnya. Latifah juga sudah lama meninggal dunia. Aishah kini perlu berhadapan dengan Kamal pula.  Wang KWSP Malek tidak diketahui ke mana perginya, siapa yang membelanjanya dan adakah masih berbaki.

Saya sangat simpati dengan nasib mereka berdua. Kisah ini tidak unik dan banyak kali saya temui dalam masyarakat. Pasti tidak terlintas di fikiran kita seorang nenek boleh menghalau cucunya yang berstatus anak yatim dari rumah mereka. Memanglah dari sudut hukum dan undang-undang Latifah tiada hak untuk menghalau Aishah dan Mira sehinggalah proses pusaka ini selesai dan bahagian waris-waris diperincikan tetapi saya juga faham siapalah yang boleh tahan jika diserang setiap hari dengan mesej dan whatsap yang menyakitkan hati.

22 tahun saya istiqomah mendidik masyarakat supaya merancang harta dengan baik semasa hidup supaya insiden seperti  Aishah ini tidak berlaku kepada keluarga kita namun ramai yang saya jumpa selalu mengatakan, “ family saya OK tak mungkin perkara begini berlaku.”

Jawapan saya kepada soalan itu juga konsisten semenjak dulu lagi, “Apabila datang bab harta jangan ambil risiko. Apapun boleh berlaku. Keluarga yang kita harapkan boleh mengambil berat dan menjaga kebajikan pasangan dan anak  kita selepas kematian kita, boleh saja pada bila-bila masa berubah menjadi ‘monster’ dan ‘memakan’ balik pasangan dan anak kita.” Jadi, rancanglah harta anda dengan baik untuk menjaga kebajikan pasangan dan anak.

 

Bagaimana Malek boleh mengelakkan risiko ini ?

Malek boleh mengelakkan risiko ini jika status Aishah dari penama kepada manfaat takafulnya diubah kepada  penerima hibah atau menggunapakai kaedah Seksyen 7 Jadual 10 IFSA dengan ‘assign’ polisi takaful itu kepada syarikat amanah yang berkepakaran seperti Wasiyyah Shoppe Berhad.

KWSP kita silalah kemaskini kepada waris yang rapat dengan kita seperti pasangan dan anak-anak. Walaupun mereka akan terima sebagai pemegang amanah dan perlu agih semula wang tersebut kepada waris lain mengikut hukum faraid, sekurang-kurangnya pengurusan ia jadi lebih mudah. Sekiranya penama KWSP Malek ialah Aishah, konflik antara Aishah dan Latifah dapat diminimakan.

Rumah sama ada masih dalam pinjaman atau telah dibayar sepenuhnya, gunalah kaedah hibah untuk kebajikan pasangan dan anak-anak kita. Jika Malek telah menghibahkan rumah ini kepada Aishah, maka tidaklah berlaku insiden dihalau dari rumah ini. Sebagai pakar hibah yang telah terlibat memperkenal dan menguruskan hibah kepada rakyat Malaysia semenjak 2004, Wasiyyah Shoppe Berhad boleh membantu in shaa Allah.

 

Risiko golongan profesional muda.

Inilah risiko profesional muda bergaji tinggi yang selalu saya jumpa sepanjang 22 tahun membuat kerja ini. Sebagai seorang yang berpendapatan tinggi, golongan ini bertendensi untuk membeli aset bernilai tinggi seperti kenderaan atau rumah secara hutang kerana mereka merasakan mereka mampu membayarnya.

Anggapan ini tidak salah tapi ada risikonya. Apabila mereka meninggal dunia, adakah waris yang ditinggalkan mampu menjelaskan segala hutang yang ditinggalkan ? Dari manakah waris ingin mendapatkan wang bagi menjelaskan hutang? Adakah benar pasangan dan anak akan menerima secara mutlak dan otomatik harta pusaka yang kita tinggalkan ?

Saya selalu nasihatkan golongan muda ini untuk menjadi peserta takaful dan dapatkan perlindungan yang semaksima mungkin bagi menampung jumlah hutang yang ditinggalkan. Tetapi kaedah hibah takaful tidak secara tepat memenuhi keperluan membayar hutang simati. Ramai yang salah anggap dengan merasakan membuat hibah takaful akan menyelesaikan semua masalah. Salah tanggapan itu. In shaa Allah dalam artikel seterusnya saya akan kongsikan lagi.

Harta lain seperti rumah ? Silalah rancang dengan kaedah hibah supaya pasangan dan anak-anak mendapat hak ke atas rumah itu tanpa perlu dikongsi dengan waris-waris faraid yang lain. Pilihan di tangan anda. Rancanglah segera selagi hayat dikandung badan.

Rancang Harta dan Urus Pusaka, Kini Tepat & Mudah

 

 

 

 

 

 

*Artikel in adalah pengalaman Hj Ariffin Sabirin, Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah Shoppe Berhad. Penulis membenarkan artikel ini diulangsiar atau dikongsi tanpa dimodifikasi oleh pihak lain. Sekiranya artikel ini dimodifikasi tanpa kebenaran penulis, penulis mempunyai hak dan kuasa untuk mengambil tindakan undang-undang yang bersesuaian bagi melindungi haknya.