Saya kerap ditanya soalan ini oleh masyarakat. Mereka keliru kerana di dalam industri perancangan harta di Malaysia hari ini  ada syarikat amanah seperti Wasiyyah Shoppe Berhad dan ada banyak juga syarikat-syarikat berstatus sdn bhd lain yang menawarkan perkhidmatan yang sama. Jadi manakah pilihan terbaik untuk masyarakat ?

Kalau nak diceritakan banyak bezanya di antara syarikat amanah seperti Wasiyyah Shoppe Berhad dengan syarikat-syarikat sdn bhd ini. Namun saya akan kemukakan perbezaan yang signifikan sahaja yang mesti diketahui oleh masyarakat. Perbezaan ini penting diketahui kerana ia akan memberi kesan signifikan kepada masyarakat.

SYARIKAT AMANAH SEPERTI WASIYYAH SHOPPE BERHAD.

Syarikat amanah seperti Wasiyyah Shoppe Berhad berdaftar di Suruhanjaya Syarikat Malaysia sebagai syarikat amanah. Fokus perniagaan kami memang hanya sebagai pemegang amanah. Kami tidak membuat pelbagai perniagaan lain. Segala aktiviti dan pergerakan kami dipantau ketat oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia kerana kami perlu patuh kepada peruntukan Akta Pemegang Amanah 1949 selain Akta Syarikat 2016.

Lembaga pengarah kami sebelum dilantik, telah disaring ketat oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia bagi memastikan mereka tidak bankrap, tiada rekod jenayah dan benar-benar berkelayakan. Saya sendiri sebelum dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif telah  menghadiri temuduga di Suruhanjaya Syarikat Malaysia kerana mereka mahu memastikan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif adalah orang yang layak.

Setiap 6 bulan pula, kami perlu melaporkan kepada Syarikat Malaysia aktiviti kami dan jumlah dana amanah yang kami pegang sebagai pemegang amanah. Segala keputusan polisi dan dasar adalah dibuat secara kolektif oleh Lembaga Pengarah kami mengikut tadbirurus korporat dan bidang kuasa ( limit of authority ) yang telah ditetapkan. Wasiyyah Shoppe Berhad juga tidak boleh sesuka hati menutup operasi kerana syarikat amanah mesti ada unsur ‘perpetuity of service’ ( kesinambungan perkhidmatan ).

Dari segi kepatuhan syariah pula, Wasiyyah Shoppe Berhad mempunyai Panel Syariah profesional yang berkelayakan dan pakar di dalam bidang fiqh mawarith, muammalat dan undang-undang Syariah dan pusaka. Segala perkhidmatan sebelum diperkenalkan kepada masyarakat melalui proses saringan ketat sebelum diluluskan oleh Panel Syariah. Kepatuhan Syariah perkhidmatan kami adalah dijamin.

SYARIKAT SDN BHD.

Syarikat sdn bhd yang bergiat dalam industri ini pula berbeza sifatnya. Mereka hanya berdaftar sebagai syarikat di bawah Akta Syarikat 2016. Mereka boleh membuat pelbagai perniagaan dalam masa yang sama bergantung kepada ‘Nature of business’ mereka yang tercatat di Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Syarikat Sdn Bhd hanya tertakluk kepada kewajipan menghantar laporan audit kewangan tahunan sahaja kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Aktiviti mereka tidak dipantau dengan ketat. Lembaga Pengarah mereka juga tidak perlu disaring oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan boleh terdiri dari sesiapa sahaja sama ada anak-beranak, adik-beradik atau kawan-kawan. Ketua Pegawai Eksekutifnya juga tidak ditemuduga Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Pemegang saham terbesar boleh sahaja membuat keputusan individu siapa yang akan dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif termasuk dirinya sendiri.

Syarikat sdn bhd juga tiada tadbirurus korporat dengan terma rujukan dan bidang kuasa yang ditetapkan. Ini bermakna pemegang saham terbesar boleh sahaja membuat apa sahaja keputusan bersendirian mengikut kepentingan peribadinya.

Masyarakat juga perlu faham bahawa syarikat sdn bhd boleh menutup operasinya pada bila-bila masa kerana mereka tiada unsur ‘perpetuity of service’ ( kesinambungan perkhidmatan ) seperti yang dimiliki syarikat amanah.

Syarikat sdn bhd juga tiada Panel Syariah bagi memastikan perkhidmatan mereka patuh syariah sepenuhnya. Keputusan apa bentuk perkhidmatan yang hendak dibuat adalah keputusan pemegang saham terbesar yang mungkin tidak patuh hukum syarak atau patuh undang-undang syariah jika mereka tiada pengetahuan tinggi dan tidak berkelayakan di dalam bidang tersebut.

KENAPA MASYARAKAT PERLU FAHAM PERBEZAAN INI ?

 Ada 4 sebab utama masyarakat perlu faham perbezaan ini

Kenapa pendaftaran di Suruhanjaya Syarikat Malaysia itu penting ?

Hanya syarikat yang berdaftar sebagai syarikat amanah sahaja yang mempunyai bidang kuasa khusus di dalam urusan harta pusaka di Malaysia mengikut Akta Pemegang Amanah 1949.
Syarikat yang tidak berdaftar, tiada bidang kuasa ini.

 

Kenapa elemen kesinambungan perkhidmatan penting ?

Urusan harta pusaka bukan urusan jangka pendek. Kita mungkin mati 30 tahun akan datang. Menggunakan perkhidmatan syarikat amanah akan menjamin waris-waris kita akan tetap mendapat perkhidmatan seperti yang dikontrakkan.
Syarikat sdn bhd mungkin tidak akan bertahan sehingga 30 tahun.

Kenapa elemen tadbirurus korporat yang baik itu penting ?

Tadbirurus korporat amalan terbaik ( best practice corporate governance ) yang diamalkan syarikat amanah seperti Wasiyyah Shoppe Berhad akan menjamin kelangsungan organisasi bagi memberi perkhidmatan jangka panjang kepada pelanggannya.
Syarikat sdn bhd kebiasaannya hanya beroperasi mengikut kepentingan pemegang saham.

Kenapa kehadiran Panel Syariah penting ?

Mempunyai Panel Syariah yang menyaring ketat semua perkhidmatan bagi memastikan ia patuh hukum syarak dan selari dengan undang-undang Syariah yang digunapakai di Malaysia. Ini menjamin apa sahaja dokumen yang diperkenalkan boleh berkuatkuasa di Mahkamah Syariah.
Syarikat sdn bhd tiada panel syariah oleh itu tiada jaminan perkhidmatan mereka boleh berkuatkuasa di Mahkamah Syariah.
PILIHAN DI TANGAN MASYARAKAT

Masyarakat hari ini sebenarnya ada pilihan. Mereka boleh memilih perkhidmatan syarikat amanah yang profesional, patuh syariah, terjamin untuk waris dan berdaftar dengan sah sebagai syarikat amanah di Suruhanjaya Syarikat Malaysia atau memilih perkhidmatan syarikat sdn bhd yang tiada jaminan elemen-elemen penting ini. Urusan harta pusaka ini sifatnya jangka panjang dan bukan seperti menjual makanan yang selepas dimakan habislah obligasi penjual makanan.

Adakah anda bersedia untuk meletakkan risiko waris anda bermasalah untuk menerima harta yang anda telah rancang untuk mereka pada masa hadapan ? Pilihan di tangan anda. Saya hanya menyatakan fakta.

PENULIS IALAH ARIFFIN SABIRIN, KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF WASIYYAH SHOPPE BERHAD, SEBUAH SYARIKAT AMANAH PATUH SYARIAH YANG BEROPERASI DI BAWAH AKTA PEMEGANG AMANAH 1949.

*Penulisan ini adalah hakmilik eksklusif penulis. Jika diulangsiar dan diubahsuai oleh mana-mana pihak tanpa kebenaran penulis, penulis mempunyai hak penuh untuk mengambil sebarang tindakan undang-undang yang bersesuaian bagi melindungi hak intelektualnya.