KEKELIRUAN TENTANG HIBAH.

Hari ini ‘Hibah’ ialah  satu terminologi  yang banyak diperkatakan. Ia suasana berbeza ketika saya mula membawa konsep ini  ke dalam masyarakat 2004 yang lalu. Bila saya bercerita tentang hibah ketika itu, ada yang tuduh saya bawa ajaran sesat kerana menurut golongan ini hibah tidak wujud di dalam Al-Quran ! Tidak adapun perkataan ‘hibah’ dalam Al-Quran. Harta pusaka hanya boleh difaraidkan sahaja katanya.

Harta pusaka memang tidak boleh dihibah kerana ia hak waris-waris mengikut  hukum faraid. Harta boleh dihibah iaitu ketika pemiliknya masih hidup lagi. Masyarakat ketika itu  ( dan sebahagian kecil ketika ini juga  ) masih terkeliru perbezaan di antara harta dan harta pusaka. Harta adalah milik kita selagi  kita masih hidup. Harta pusaka pula ialah harta yang kita tinggalkan ketika meninggal dunia. Jadi  ada perbezaan di antara harta dan harta pusaka. Saya perlu mengulang-ulang kefahaman ini di dalam penulisan saya  kerana masyarakat masih terkeliru dan gagal faham hakikat ini.

Alhamdulillah, perjuangan saya semenjak 15 tahun lepas mendidik masyarakat tentang perancangan harta menggunakan instrumen hibah, wasiat, harta sepencarian  dan  amanah  mulai menampakkan hasil hari ini. Ia juga hasil kerja kuat orang-orang lain di dalam industri serta peranan yang dimainkan oleh media massa.  Hari  ini  di  mana-mana saya pergi ‘hibah’ adalah satu perkataan yang popular dan sangat menarik minat masyarakat.

Menyelusuri sejarah, sebagai orang lama dalam industri saya dapat mengesan bahawa perubahan drastik di dalam penerimaan dan kesedaran hibah dalam masyarakat ialah semenjak Akta Perkhidmatan Kewangan Islam ( IFSA ) 2013 diperkenalkan. Jadual 10 di dalam akta ini memperincikan tentang hibah takaful dan syarat-syarat pemakaiannya. Statut ini membuatkan semua pihak mulai celik mata mengenai kepentingan, fungsi dan aplikasi hibah di Malaysia.

Namun di dalam keghairahan memperkenalkan hibah kepada masyarakat , wujud pula kekeliruan.  Kekeliruan yang paling popular yang ingin saya jelaskan di  sini ialah hujah bahawa hibah lebih baik dari faraid kerana menurut pihak-pihak ini hibah memberi kuasa kepada kita untuk memberikan harta kepada sesiapa sahaja yang kita ingini sedangkan faraid terpaksa kita patuhi dan mungkin orang yang menerima bahagian itu  tidak rapat atau  tidak memberi manfaat kepada kita. Oleh itu lebih baik membuat hibah  dari membiarkan harta pusaka diagih ikut hukum faraid.

Walaupun saya sendiri adalah antara orang yang paling agresif meneroka inovasi hibah dalam ruang lingkup Syariah semenjak belasan tahun lepas, saya mempertahankan bahawa hujah hibah lebih baik dari faraid ini adalah salah dan sangat mengelirukan masyarakat. Orang yang berhujah begini sebenarnya masih tidak  memahami ilmu fiqh mawarith itu secara mendalam dan komprehensif. Ia memberi gambaran seolah-olah sesuatu ilmu yang Allah turunkan itu lebih baik  dari  ilmu yang lain. Mana mungkin Allah menurunkan ilmu  yang sebegitu sifatnya. Setiap apa yang Allah turunkan kepada kita semuanya adalah  yang terbaik mengikut keperluannya yang tersendiri.

Hibah dan faraid itu kedua-duanya mempunyai fungsi dan hikmah yang berbeza di dalam Islam. Jangan dibanding dan dilagakan  antara kedua-duanya. Faraid itu  dari  segi bahasanya adalah ‘ketetapan’ manakala dari  segi  syaraknya ialah kaedah  pembahagian harta pusaka selepas kematian seseorang Islam.

Di dalam hukum faraid telah ditetapkan siapa yang berhak ke atas harta pusaka simati dan bahagian yang berhak ke atasnya. Ia satu hukum bersifat qath’ie ( tetap ) dan tidak boleh disangkal oleh sesiapapun walaupun waris-waris boleh juga  menolak bahagian yang sepatutnya diterimanya melalui prinsip takharruj. Faraid wujud dengan hikmahnya yang tersendiri yang hanya diketahui oleh Allah SWT yang Maha Bijaksana dan Maha Adil kenapa setiap waris menerima bahagian seperti yang ditetapkan. Sebagai seorang muslim, kita mesti yakin dengan hukum ini.

Namun begitu selagi pemilik harta itu masih hidup,  Islam memberi kebebasan kepadanya untuk menghibah, menjual, menggadai atau membuat apa sahaja transaksi ke atas hartanya kerana dia mempunyai kuasa ke atasnya. Ini  prinsip penguasaan mal (  harta ) yang perlu difahami. Tiada sesiapa pun boleh menyekat pemilik harta dari membuat apa sahaja transaksi yang dikehendakinya selagi dia masih hidup dan harta-harta ini sah miliknya. Tetapi sebaik sahaja pemilik harta itu  meninggal dunia, maka secara otomatik semua hartanya menjadi  milik waris mengikut hukum faraid.

Para pembaca sekelian, Islam itu syumul dan adil. Usahlah disempitkan  pemahaman kita mengenai  kedua-duanya.  Sekiranya kita masih kekurangan ilmu, kita boleh belajar dengan menghadiri  pelbagai seminar atau program berkaitan dengan isu ini yang sekarang banyak dianjurkan oleh pelbagai pihak . Lihatlah ilmu fiqh mawarith ini dalam konteks yang lebih luas dan inklusif.

 *Artikel in adalah pengalaman Hj Ariffin Sabirin, Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah Shoppe Berhad. Penulis membenarkan artikel ini diulangsiar atau dikongsi tanpa dimodifikasi oleh pihak lain. Sekiranya artikel ini dimodifikasi tanpa kebenaran penulis, penulis mempunyai hak dan kuasa untuk mengambil tindakan undang-undang yang bersesuaian bagi melindungi haknya.