Para isteri yang membaca tulisan saya  minggu ini mungkin akan melenting! Takkanlah nak menyerah begitu sahaja jika suami menggatal ingin kahwin lagi. Mestilah isteri menentang dulu habis-habisan sebelum menyerah kepada keputusan suami. Harap bertenang puan-puan, baca dahulu sampai habis tulisan saya ini.

Saya melalui pengalaman tersebut pada Ramadhan baru-baru ini. Bukan saya yang nak kahwin lagi. Saya setia kepada yang satu. Tetapi saya terlibat di dalam usaha mendamaikan sepasang suami isteri yang berperang kerana suaminya menyatakan hasrat ingin berkahwin lagi satu.

Isteri manalah yang sanggup berkongsi suami dengan wanita lain. Di kala memulakan perjalanan rumahtangga berbelas tahun lalu, di saat suami tidak ada apa-apa, isteri berkorban segala-galanya menempuh panas dan hujan ,ribut dan taufan, ketawa dan menangis bersama.

Apabila suami sudah ada segalanya, kini suami beralih perhatian kepada wanita lain. Rasa kasih sayang dan pengorbanan tiada nilai di mata suami yang tegas ingin berkahwin lagi kerana ‘mampu’, katanya.

Anak-anak remaja terkesan melihat ibubapa  bertengkar dan masa depan dilihat gelap dengan prospek adanya mak tiri dan ayah beralih kasih. Benarlah kata orang , suami diuji bila tiada apa-apa tetapi isteri diuji bila suami ada segala-galanya.

Poligami memang dibenarkan dalam Islam bagi suami yang berkemampuan. Ramai suami anggap kemampuan ini dilihat hanya dari sudut kewangan dan kekuatan batin semata-mata.

Layanan adil

Namun, mereka gagal melihat kemampuan dari segi layanan adil dan paling penting sekali ialah kemampuan dari segi pengetahuan agama untuk membimbing isteri dan anak-anak dengan baik seperti solat Jemaah bersama-sama, mengaji, ta’lim pergi ke masjid, membuat amal kebajikan dan lain-lain.

Tetapi jika suami, bangkit pagi untuk solat subuh pun perlu dikejut bagai anak-anak kecil, bagaimana jika dia nak membimbing keluarga?

Di tengah-tengah kemelut keluarga ini akhirnya pecah cerita suami sebenarnya telah bernikah di sempadan. Hancur luluh hati isteri dan anak-anak. Rupa-rupanya selama in dia sudah bernikah tetapi berlakon ibarat Encik Ramli dalam ‘Madu Tiga’.

Walaupun saya seorang lelaki, saya memahami hati isterinya yang remuk. Semangat untuk mempertahankan rumahtangga hilang sekelip mata .

Pesanan saya kepada para isteri, jika suami nyatakan hasrat untuk berkahwin lagi, selalunya dia sudah ada calon dan memang nekad untuk berpoligami walau apapun halangannya. Jika isteri menghalang sekalipun, ia tidak berkesan. Cakaplah apa sahaja, jika hati suami memang sudah beralih, dia tidak akan berganjak.

Buat perjanjian harta

Jadi, ikut sahaja peruntukan undang-undang yang ada. Usah dihalang hasratnya tetapi mintalah dia menandatangani Perjanjian Penyelesaian Harta Sepencarian.

Lindungi hak anda dan anak-anak. Mintalah rumah tempat anda dan anak-anak boleh berlindung. Minta dia tanggung semua kos rumah seperti bil air,  elektrik, wifi bayaran ansuran bulanan rumah (jika masih ada pinjaman) dan segala cukai berkaitan.

Minta juga nafkah bulanan anak-anak dan diri sendiri mengikut jumlah yang dipersetujui. Jangan lupa juga minta keretanya yang biasa anda gunakan bagi urusan harian menguruskan anak-anak dan urusan keluarga.

Nak lagi? Minta suami supaya buat absolute assingment polisi takafulnya supaya anda dan anak-anak menajadi benefisiari seperti kaedah yang saya tulis dalam artikel sebelum ini.

Tak cukup? Nak lagi? Selain harta-harta yang dimasukkan di dalam perjanjian ini, minta juga dia hibahkan harta-harta lain seperti akaun Tabung Haji, saham syarikat ( jika dia ahli perniagaan ) dan lain-lain harta yang difikirkan sesuai.

Hibah kepada isteri tidak boleh ditarik balik mengikut syarak dan mintalah supaya hibah itu dibuat secara mutlak iaitu jika anda mati, hak ke atas harta berpindah kepada waris-waris mengikut hukum faraid iaitu anak-anak anda.

Ini tindakan yang mesti anda ambil. Biar dia nikah lagi tetapi dapatkan hak anda dan anak-anak . Jika ini gagal dibuat sebelum dia bernikah, proses untuk menuntut selepas itu akan menjadi lebih mencabar dan susah untuk anda.

Ambil kesempatan ini sekarang sebelum dia bernikah lagi. Di dalam keadaaan mabuk cinta, dia akan bersetuju dengan apa sahaja permintaan anda kerana yang penting kepadanya ketika ini ialah mencapai hasrat mendapa ‘pucuk muda idaman’.

Jika anda halang dan dia lari bernikah di sempadan, keadaan akan jadi lebih sukar dan menyakitkan untuk semua pihak terutama kepada anda. Jadi jangan sekat hasratanya tetapi lindungi hak anda dan anak-anak .

Benda kita boleh dapat, buat apa nak serahkan kepada isteri baharu.Betul tak? 

*RANCANG HARTA DAN URUS PUSAKA, KINI TEPAT DAN MUDAH*