PENANGAN NASI TANGAS NENG.

Ganas bunyinya tulisan saya kali ini tetapi itulah hakikatnya yang berlaku dalam masyarakat. Saya akan kongsikan cerita-cerita berkaitan pusaka dalam penulisan saya supaya menjadi renungan dan panduan kita. Moga ia bermanfaat in shaa Allah.

Hari jumaat yang tenang di pejabat. Pagi biasanya saya akan menghadap pelbagai mesyuarat tetapi hari ini hanya beberapa kertas kerja saja yang nak disemak. “En Ariffin, ada tetamu di lobi katanya nak jemput En. Ariffin tapi tak ada appointment.” Staf saya intercom. “Tak apalah bawa dia naik ke pejabat saya. Saya pun kebetulan free.” jawab saya.

Kalau saya tiada apa-apa mesyuarat atau tugasan khusus, biasanya saya boleh saja ditemui di pejabat Wasiyyah Shoppe Berhad. Tetapi keadaan ‘free’ ini memang ‘rare’lah untuk saya. Dalam kebanyakan waktu, jadual saya sangat terikat dengan pelbagai mesyuarat dan urusan ‘back-to’back’ dari 9 pagi sampai 6 petang. . Inilah hakikat kehidupan seorang CEO yang terlampau !

“Cuba ceritakan apa tujuan dan hajat ke sini.” Saya memulakan bicara selepas mempersilakan tetamu ini duduk. “Kami ni dua beradik Encik. Saya Mokhtar dan ini adik saya Liza. Kami nak tanya Encik kot-kot dapat jawapan yang boleh membantu situasi kami yang haru biru sekarang ni.”

Mokhtar mula bercerita. Ibu mereka Kalsom telah meninggal dunia pada 2015. Semenjak itu ayah mereka Hj Said tinggal bersendirian di kampung. Kedua-dua Mokhtar dan Liza telah berkeluarga dan bekerja di lembah kelang. “Kami sebenarnya risau dan kesaian dengan ayah sebab dia duduk seorang di kampung. Jadi kami cadangkanlah supaya ayah berkahwin semula supaya ada orang yang akan jaga makan pakai dan sakit pening dia. Kami pernah cadangkan beberapa calon  tapi semua dia tolak.” Tambah Liza.

Sangka Mokhtar dan Liza, ayah mereka lebih suka bersendirian tanpa teman. Rupanya ayah mereka sudahpun ada calon sebaik kematian ibu mereka iaitu seorang pembantu kedai makan di warung kegemaran ayah, Neng Wati.

“Sehari aku tak makan masakan kamu termimpi-mimpi aku!” Usik Hj Said sambil mengenyit mata ke arah Neng Wati. Walau umur menjangkau 40 tahun, Neng Wati pandai menjaga penampilan dan itulah yang memikat hati Hj Said. Gerak-geri dan lenggok Neng Wati sungguh menggoda Hj Said. Tambah pula isterinya baru meninggal dunia. Hj Said sunyi dan Neng  Wati lah tempat dia selalu mengadu kesunyiannya.

Sebagai guru besar pencen, Hj Said banyak masa lapang dan tidak kesempitan wang. Neng Wati selalu dibelikan hadiah pakaian, jam tangan dan alat solek. Dia tidak bertepuk sebelah tangan. Neng Wati pun sudah jatuh hati padanya. Akhirnya Hj Said membuat keputusan menikahi Neng Wati. Walau ditentang Mokhtar dan Liza, Hj Said nekad meneruskan niatnya.

“Hari ayah nikah, kami tak balik kampung pun. Geram betul dengan perangai ayah yang tergila-gilakan perempuan  seberang tu. Lepas dia nikah pun lama kami tak balik jenguk dia. Ayahpun macam dah buang kami sebab marah kami tak setuju dengan pernikahannya.” Mokhtar menyambung cerita.

Satu hari Hj Said diserang stroke. Selepas seminggu  mendapat berita ini,  Mokhtar dan Liza pun balik ke kampung melihat keadaan ayah mereka yang sudah terlantar. Mereka terperanjat bila masuk ke rumah disambut bau masam dan hancing. Rumah tidak terurus dan Hj Said sugul di pembaringan tanpa daya. Ditoleh ke kiri dan kanan, mereka tidak nampak kelibat Neng Wati.

Menitis air mata Hj Said melihat anak-anaknya balik. Walau sesal dengan perbuatannya memarahi mereka, dia gembira kerana anak-anaknya tetap pulang ke kampung menjengahnya. Walau tubuhnya lemah tak bermaya tetapi fikirannya masih dapat mengingat dengan baik. Diceritakannya satu persatu peristiwa selepas pernikahannya dengan Neng Wati. Tentang  periuk nasi tanah yang dijumpainya tersorok dibawah dapur, tentang dia mengeluarkan semua wang ASB nya sebanyak RM 180,000 yang diserahkan kepada Neng Wati, tentang barang kemas arwah isterinya yang diberikan sebagai hadiah kepada Neng Wati. tentang borang 14A yang diisinya di pejabat tanah untuk memindahmilik tapak rumahnya yang berstatus ‘freehold’ kepada Neng Wati,

Tentang malam-malam tertentu di mana dia mendengar seakan-akan suara orang membaca mentera di dapur. Tentang betapa Neng Wati selalu memaki hamun dia dan mengabaikannya selepas dia diserang stroke.

Hj Said kesal namun dia tidak boleh menarik balik masa ke belakang. Hakikatnya kini pada penghujung usia dia sudah kehilangan hampir segala-galanya. Dia sedar dia kini tidak punya apa-apa dan kerana itulah dia ditinggalkan Neng Wati. Dia kini tahu dia mangsa nasi tangas. Namun dia bersyukur dia masih ada Mokhtar dan Liza yang masih menghormati dan mengasihinya.

“Apa yang boleh kami lakukan untuk dapat balik semua harta yang ayah dah beri kepada Neng Wati?” Wajah Mokhtar berkerut bila mengajukan soalan ini.

“Jika semua harta itu diserahkan sendiri oleh ayah mengikut proses yang betul, sebenarnya hampir mustahil untuk kita dapatkan semula. Harta-harta itu memang sudah menjadi milik sah Neng Wati. Kita tak boleh ke mahkamah dengan membawa hujah ayah dan kena nasi tangas sebab alasan itu tidak diterima.” Saya menjelaskan.

 

Pesanan kepada anak-anak.

Saya suka nak pesan kepada anak-anak. Jika salah seorang ibu atau ayah meninggal dunia dan ibu atau ayah yang masih hidup duduk berseorangan di kampung, anak-anak kenalah berkorban untuk mengambil tanggungjawab menjaga kebajikan ibu atau ayah ini. Korbankan masa, korbankan tenaga, korbankan cuti untuk bergilir-gilir menjenguknya di kampung. Janganlah dibiarkan kesepian dan keseorangan kerana kita bimbang akan ada pihak lain yang ambil kesempatan.

Memanglah ibu atau bapa ini tak betah untuk duduk bersama dengan kita di bandar kerana mereka lebih selesa di kampung. Carilah kaedah terbaik untuk menjaga kepentingan mereka. Bukan isu harta sangat yang jadi fokusnya tetapi melindungi kebajikannya yang lebih utama. Jadikan kisah ini sebagai iktibar untuk kita.

 

 

 

 

 

 

 

Penulis ialah Ariffin Sabirin, Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah Shoppe Berhad, sebuah syarikat amanah patuh syariah yang beroperasi di bawah Akta Pemegang Amanah 1949.

 

*Penulisan ini adalah hakmilik eksklusif penulis. Jika diulangsiar dan diubahsuai oleh mana-mana pihak tanpa kebenaran penulis, penulis mempunyai hak penuh untuk mengambil sebarang tindakan undang-undang yang bersesuaian bagi melindungi hak intelektualnya.