Sistem semak harta pusaka

SELAYANG: Buat pertama kalinya, satu sistem dibangunkan bagi memudahkan orang ramai menyemak secara talian terus (on-line) status perkembangan kes harta pusaka ahli keluarga mereka.

Sistem Proses Pusaka e-Tasarruf dibangunkan Wasiyyah Shoppe Sdn Bhd (Wasiyyah Shoppe) itu memudahkan waris pelanggan mereka membuat semakan sendiri perjalanan proses harta pusaka diuruskan Wasiyyah Shoppe sama ada di Pejabat Pesaka Kecil, Mahkamah Tinggi Sivil atau Mahkamah Syariah.

Melalui sistem itu, waris pelanggan hanya perlu menekan butang ‘Sistem Proses Pusaka’ di laman sesawang www.wasiyyahshoppe.com.my untuk mengetahui di tahap proses urusan harta pusaka diuruskan.

Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah Shoppe, Azrin Sabirin berkata, sistem itu membantu mengelakkan salah faham antara waris pelanggan dan peguam yang menguruskan harta pusaka mereka.

“Apabila pelanggan organisasi pengurusan harta pusaka meninggal dunia, sering berlaku salah faham antara waris dengan peguam.

“Peguam menunggu waris datang manakala waris pula tertanya-tanya bila peguam mahu mengadakan pertemuan sehingga menyebabkan kes tertangguh,” katanya Pelancaran sistem itu disempurnakan Pengerusi Panel Syariah Wasiyyah Shoppe, Prof Madya Dr Ridzuan Awang. Hadir sama, Penasihat Wasiyyah Shoppe, Ariffin Sabirin.

Minda: Membudayakan penulisan wasiat

Minda: Membudayakan penulisan wasiat

Oleh Mohamad Sofee Razak
Sumber : Harian Metro

RAMAI terkejut apabila dilaporkan bahawa nilai harta pusaka umat Islam di negara ini terpaksa dibekukan sejak sekian lama, dianggar mencecah RM42 bilion iaitu suatu jumlah cukup besar sekiranya ia dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam pembangunan umat Islam di negara ini.

Peninggalan harta si mati yang terpaksa dibekukan ini adalah kerana ketiadaan penuntut yang berhak atau waris yang layak dan sah berikutan kegagalan diselesaikan pewaris apabila berlaku kematian di samping masalah teknikal dan birokrasi melibatkan undang-undang serta pewarisan. Isu ini saban tahun dibangkitkan dan jumlah harta dibeku berkenaan semakin bertambah dari semasa ke semasa serta nilainya juga terus meningkat.

Masalah yang kian serius dan kronik ini berlaku ekoran faktor penyumbang yang antaranya ialah ketiadaan penyediaan wasiat yang sebenarnya merupakan satu instrumen pengurusan dan pentadbiran harta dalam Islam yang kurang difahami, dihayati serta gagal direalisasikan oleh umat Islam hari ini membabitkan harta benda.

Ini kemungkinan besar kurangnya kesedaran terhadap penulisan wasiat ketika masih hidup serta sikap sambil lewa sebahagian besar masyarakat Islam terhadap pengurusan harta kekayaan mereka dan kadangkala isu wasiat juga menjadi topik yang cukup sensitif bagi sesetengah orang kerana ia berkait rapat dengan kematian, keretakan institusi kekeluargaan dan perebutan harta di kalangan saudara mara.

Secara umum, harta yang hendak diwasiatkan oleh seseorang mesti tidak melebihi satu pertiga (1/3) daripada harta pusaka bersih kecuali mendapat persetujuan daripada ahli waris di mana penerima wasiat mesti bukan waris iaitu mereka yang tiada hak faraid ke atas pusaka si mati kecuali mendapat persetujuan daripada ahli waris lain.

Selepas kematian si mati atau pewasiat, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah ditolak dulu kos perbelanjaan pengebumian dan pembayaran hutang si mati. Wasiat juga boleh ditarik balik pada bila-bila masa kerana ia hanya berkuat kuasa selepas kematian pewasiat dan wasiat tersebut perlu dibuat dalam keadaan secara sukarela.

Oleh itu, perlu diingatkan bahawa harta yang dibekukan dan tidak berupaya digunakan adalah sangat tidak ekonomik serta merugikan semua pihak. Ini kerana harta yang dibekukan berkenaan tidak dapat dimanfaatkan untuk pembangunan dan kemaslahatan ummah di negara ini seperti harta wakaf.

Keadaan yang berlaku ini melibatkan sejumlah besar harta dibekukan juga membuktikan umat Islam di negara ini sememangnya mempunyai aset yang kukuh untuk dilaburkan, tetapi malangnya terpaksa dibekukan kerana masalah kes tuntutan dan pewarisan yang gagal diselesaikan dengan sempurna.

Menurut Amanah Raya Bhd (ARB), anggaran itu meliputi kira-kira sejuta kes di negara ini dan kajian ARB juga mendapati hanya dua peratus rakyat Malaysia menulis wasiat yang membolehkan segala maklumat harta mereka didaftarkan, sekali gus memudahkan urusan pembahagian apabila berlaku kematian.

Perlu difahami, Islam telah menyediakan platform terbaik untuk mengurus dan mentadbir harta secara lebih bijaksana dan efektif, namun ruang dan peluang ini tidak digunakan sepenuhnya oleh umat Islam masa kini.

Oleh itu, sekiranya umat Islam masih memandang remeh berkenaan penyediaan wasiat ke atas harta di bawah milikan dan kawalan mereka, sudah tentu nilaian aset tidak dituntut umat Islam akan terus bertambah dan dibekukan pada masa depan.

Kelalaian ini amat tidak ekonomik, merugikan negara dan ummah. Seharusnya aset bernilai ini ditadbir dan diurus sebaik mungkin agar ia bermanfaat kepada pihak yang memerlukan ataupun boleh disalurkan terus ke arah perkembangan dan kemajuan Islam di Malaysia.

Di samping itu, terdapat beberapa kelebihan sekiranya kita membuat persediaan awal menyediakan wasiat sebagai suatu proses pengurusan dan pentadbiran aset di bawah kawalan dan milikan kita. Ini kerana ia dapat diselenggarakan dengan baik, efisien dan profesional dengan kos minima.

Wasiat kita dapat diurus dan ditadbir oleh orang yang bertauliah seperti peguam dan ejen wasiat yang mempunyai kelayakan dalam mengendalikan segala urusan berkenaan wasiat merangkumi aspek dokumentasi, penyimpanan, pengurusan, pemeliharaan dan sehingga kepada urusan pelaksanaan wasiat itu sekiranya berlaku kematian.

Proses tuntutan harta pusaka juga menjadi lebih cepat, mudah dan lancar dengan adanya wasiat yang sah dan ini sudah tentu dapat mengelakkan berlakunya pergaduhan, perselisihan dan perebutan harta di kalangan waris yang berhak di kemudian hari.

Kebiasaannya aset yang dilaporkan terpaksa dibekukan ekoran tidak dituntut pewaris yang berhak meliputi wang simpanan di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), simpanan di koperasi dan bank, kenderaan, hartanah seperti rumah dan bangunan, simpanan unit amanah, insurans dan takaful, pelaburan saham syarikat, saham amanah, harta intelektual, royalti dan banyak lagi.

Sekiranya keadaan ini tidak diberi perhatian sewajarnya, ia akan memberi impak negatif kepada perkembangan ekonomi negara kerana aset tersebut beku dan tidak dapat dimajukan.

Oleh yang demikian, langkah drastik perlu dilakukan bagi menerapkan kepentingan berwasiat dan semua pihak hendaklah peka mentadbir serta mengurus harta mereka melalui pembudayaan penulisan dan penyediaan wasiat di kalangan masyarakat secara menyeluruh.

Penulis seorang peguam

Sempat tulis surat wasiat

Sempat tulis surat wasiat

Oleh Mohd Shah Muda
am@hmetro.com.my

MERSING: Seorang pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nitar sempat menulis wasiat minggu lalu yang hanya boleh dibuka selepas dia meninggal dunia, sebelum dia maut akibat kemalangan jalan raya, pagi kelmarin.

Allahyarham Mohd Hanif Omar, 14, dikatakan menulis wasiat berkenaan ketika menghadiri program motivasi di sekolahnya sebelum menyerahkannya kepada keluarga dan meminta dibaca apabila dia meninggal dunia kelak.

Bagaimanapun, keluarga tidak menyangka gelagat pelik anak periang berkenaan adalah petanda dia akan meninggal dunia, sehinggalah motosikal yang ditunggangnya bertembung sebuah Proton Wira di Jalan Mawar Felda Nitar jam 11.40 pagi kelmarin.

Kakaknya, Julia, 21, berkata, antara kandungan wasiat itu termasuk memohon kemaafan kepada ibu bapa, menghalalkan segala makan minum dan mengampuni dosanya.

“Selain itu, wasiat berkenaan turut meminta ibu bapa sampaikan salam kepada guru dan rakan-rakan serta meminta maaf daripada mereka,” katanya.

Menurutnya, sebaik pulang dari program motivasi itu Arwah menyampaikan wasiat berkenaan kepada ayah dan memintanya menyimpan surat itu hingga dia meninggal dunia, barulah boleh dibaca.

“Saya tidak sangka wasiat yang ditandatanganinya itu benar-benar berlaku kepada adik dan meninggalkan kami sekeluarga buat selama-lamanya. “Kami sebak apabila bapa membacakan kandungan wasiat itu, namun reda dengan kejadian yang menimpanya,” katanya.

Sementara itu, bapa arwah, Omar Ismail, 63, yang sebak selepas membaca wasiat itu berkata, dia tidak sangka anaknya itu sudah meninggal dunia.

“Sebelum kejadian, arwah meminta wang RM1 untuk membeli aiskrim di kedai berhampiran sebelum bertandang ke rumah seorang rakannya. “Bagaimanapun tidak lama selepas arwah keluar rumah di Blok 10 A Felda Nitar, saya menerima panggilan telefon daripada rakannya memberitahu Hanif parah akibat kemalangan.

“Saya bergegas ke lokasi dan sebaik tiba, saya dapati Mohd Hanif parah di kepala dan badan sebelum membawanya masuk ke dalam kereta untuk dihantar ke Hospital Mersing,” katanya.

Menurutnya, ketika dalam perjalanan, ambulans tiba menyebabkan mereka memindahkan Mohd Hanif yang cedera parah ke ambulans sebelum menyambung perjalanan.

Katanya, anaknya diberikan rawatan kecemasan, namun disahkan meninggal dunia kira-kira tiga jam kemudian.

“Arwah seorang yang periang. Kami sekeluarga reda dengan apa yang berlaku,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Nor Rasid berkata, pemandu Proton Wira berusia dalam lingkungan 30-an tidak cedera dan dipanggil memberi keterangan.

Beliau berkata, pihaknya belum tahu punca kejadian kerana terdapat beberapa versi dan berharap sesiapa mempunyai maklumat menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

“Kami berharap orang ramai akan membantu kami dalam siasatan,” katanya.

Salam takziah, al-fatihah buat arwah.

TIADA WASIAT: RM42 BILION DIBEKU

TIADA WASIAT: RM42 BILION DIBEKU

Utusan Malaysia, 5 May 2011

TIADA siapa ambil peduli apatah lagi mahu bertanya khabar. Malah, kehadiran Mariam (bukan nama sebenar) dipandang sebagai “bebanan” di kalangan sanak saudaranya hanya disebabkan beliau lahir tidak sesempurna insan lain.

Saat itu, pertalian saudara yang terjalin bagaikan sudah tiada ertinya lagi.

Melihat Mariam terkapar-kapar meraih simpati di tatkala tiang bergantungnya selama ini iaitu ibunya, Zainab, meninggal dunia, menyebabkan orang kampung terpaksa menghantarnya ke rumah sri kenangan.

Namun, tiba-tiba semuanya berubah. Sanak-saudaranya kembali menjenguk, bukan seorang dua tetapi ramai sejurus mengetahui Mariam meninggal dunia. Bukan disebabkan rasa kesal atas sikap kejengkilan mereka terhadap arwah, namun hanya kerana ingin “menuntut hak” apabila mengetahui Mariam meninggalkan harta yang agak banyak.

Tatkala situasi sedemikian patut diiringi dengan bacaan ayat-ayat yasin disusuli pembacaan doa, namun keadaan sebaliknya berlaku apabila perebutan harta tercetus disebabkan tiadanya wasiat.

Itu satu daripada ribuan kes yang berlaku hanya disebabkan tiadanya wasiat.

Apatah lagi, pendedahan sebelum ini mengenai nilai harta pusaka yang dibekukan berikutan kes gagal diselesaikan pewaris kerana ketiadaan wasiat dianggarkan kini mencecah RM42 bilion, satu angka yang sangat besar dan perlu diambil perhatian.

Berdasarkan faktor itu, rasanya tidak salah kalau mengandaikan budaya penulisan wasiat di kalangan rakyat negara ini masih rendah. Melihat kepada senario ini, nampaknya ia berbalik kepada aspek kesedaran di kalangan masyarakat. Justeru, adakah benar kita masih kurang kesedaran akan kepentingan penulisan wasiat?

Mengakui akan perkara tersebut, Ketua Pegawai Pemasaran Amanah Raya Bhd, (ARB) Ahmad Saruji Abdul Aziz berkata, tahap kesedaran penulisan wasiat di kalangan rakyat negara ini masih belum mencapai tahap memuaskan.

Berbanding negara maju di barat, penulisan wasiat sudah menjadi satu kewajipan penting dan bukannya seperkara yang dilihat sebagai faktor mendoakan orang itu cepat mati.

“Kalau dilihat kajian oleh Amanah Raya hanya 668,000 orang menulis wasiat sama ada di Amanah Raya ataupun di kalangan pemain industri dan daripada jumlah tersebut, 490,000 adalah dari Amanah Raya. Ini berdasarkan kajian tahun lepas.

“Masih jauh lagi, kerana matlamat atau sasaran pasaran yang perlu diterokai (penulisan wasiat) adalah seramai tiga juta orang. Jadi, angka tiga juta berbanding 668,000 orang yang tulis wasiat, menunjukkan tahap kesedaran masyarakat masih jauh dan rendah,” katanya kepada Bernama dalam satu temubual baru-baru ini.

Bagaimanapun, kajian tersebut mendapati budaya penulisan wasiat di kalangan golongan muda profesional, menunjukkan satu reaksi memberangsangkan.

“Biasanya trend buat wasiat ini adalah di kalangan orang tua, warga emas.

Tetapi, sekarang sudah ramai golongan muda tampil untuk membuat wasiat,” katanya. — BERNAMA

Untuk maklumat lanjut atau mendapatkan Khidmat Runding secara PERCUMA sila hubungi Wasiyyah Shoppe Sdn Bhd di alamat No.1 Jalan 9/42 Taman Sejahtera Off Jalan Kuching, 51200 Kuala Lumpur atau hubungi kami di talian Telefon : 603 6250 9573 | Faks : 603 6259 2853 atau layari kami di http://www.wasiyyahshoppe.com.my

Minda: Perancangan harta

Minda: Perancangan harta
Oleh Tan Beng Wah
Harian Metro

HASSAN meninggal dunia ketika berusia 63 tahun. Beliau meninggalkan seorang isteri dan tiga anak lelaki. Sepanjang hayatnya, Hassan bekerja keras untuk menyara keluarga kerana menyedari pentingnya membina, melindungi dan mengekalkan kekayaan.

Beliau menyedari betapa pentingnya perancangan harta pusaka kerana beliau mahu kebajikan keluarganya terjamin selepas ketiadaannya. Beliau menulis wasiat bagi menetapkan cara harta pusakanya dibahagikan.

Selepas meninggal dunia, wasi atau pentadbir harta pusaka melangsaikan semua hutangnya termasuk zakat yang belum ditunaikan, memindahkan hak milik rumah kepada balunya seperti yang diwasiatkan dan mengagihkan baki aset menurut wasiatnya.

Namun begitu, bukan semua orang berpandangan jauh seperti Hassan yang merancang pembahagian harta pusakanya kerana didapati masih ramai tidak berbuat demikian.

Ada laporan mendedahkan aset dan harta pusaka bernilai RM40 bilion yang ditinggalkan si mati di Malaysia tidak dituntut kerana tiada perancangan harta pusaka. Dalam pada itu, aset yang tidak dituntut seperti wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, simpanan bank, kenderaan, hartanah dan manfaat insurans boleh dibekukan jika berlaku perebutan harta pusaka antara waris si mati.

Jadi, apakah yang menyebabkan sejumlah besar aset ini tidak dituntut? Adakah masyarakat Islam kurang prihatin atau tidak sedar mengenai cara untuk menguruskan harta benda mereka?

Ini tidak seharusnya berlaku kerana pembahagian kekayaan adalah penting dalam perancangan kewangan Islam, selari dengan usaha membina, melindungi dan mengekalkan kekayaan berasaskan syariah. Ia sudah wujud sejak zaman Nabi Muhammad.

Bina, lindungi dan kekalkan kekayaan anda mengikut cara Islam

Perlindungan kekayaan membabitkan perancangan aliran tunai, perancangan cukai, perancangan jaminan keselamatan keluarga, perancangan pendapatan hilang upaya dan perancangan pendapatan penyakit kritikal.

Dalam Islam, konsep perlindungan kekayaan berbeza daripada konsep perlindungan konvensional kerana takaful bermakna bersama, iaitu sekumpulan peserta bersetuju untuk bersama-sama menjamin perlindungan satu sama lain daripada kerugian tertentu.

Takaful berasaskan prinsip taawun (saling membantu) dan tabarru (derma, hadiah atau sumbangan) yang risikonya dikongsi kumpulan secara sukarela.

Seperti pelan insurans konvensional, takaful (umpamanya produk takaful am dan takaful keluarga) memberikan jaminan perlindungan daripada kerugian atau kerosakan. Peruntukan ini dilihat sebagai masyarakat membantu seseorang yang kerugian.

Dalam perancangan kewangan konvensional, pengumpulan harta untuk mencapai pertumbuhan modal sewajarnya dengan objektif mengekalkan kekayaan terkumpul. Pengumpulan harta mengimbangkan risiko kehilangan modal dan risiko kehilangan kuasa pembelian. Ini membabitkan strategi peruntukan aset, pelaburan dan strategi untuk mencapai kebebasan kewangan.

Dalam Islam, pengumpulan kekayaan adalah berbekalkan bakat dan sumber dikurniakan Allah. Justeru, sebaik mana seseorang menguruskan kekayaannya mencerminkan sebaik mana kehidupannya. Sebelum membuat keputusan mengenai sesuatu pelaburan, umat Islam perlu memastikan saluran pelaburan yang dipilih menepati Syariah iaitu bebas daripada elemen gharar (ketidakpastian), riba (faedah), maisir (perjudian) dan halal.

Kita sebenarnya tidak kekurangan saluran pelaburan yang menepati hukum Syariah dan umat Islam boleh memilih antara lain unit amanah, pelan takaful, saham, sukuk, hartanah, pelan simpanan wadiah mudarabah. Malah, kini terdapat projek pembangunan hartanah yang mematuhi syariah.

Antara kaedah mengekalkan harta kekayaan termasuk menerusi wasiat keluarga, hiba, surat kuasa, perakuan harta sepencarian dan perakuan amanah.

Umat Islam sedar dalam membina dan mengumpulkan kekayaan, mereka adalah pemegang amanah kepada kekayaan kurniaan Allah dan prinsip di sebaliknya tetap sama, iaitu seseorang mesti bekerja keras jika ingin mendapatkan kekayaan.

Jadi, apakah yang dimaksudkan mengekalkan kekayaan dalam perancangan kewangan Islam? Dalam konteks ini ia bermakna melindungi kekayaan yang terkumpul daripada setiap risiko kewangan dan ancaman yang boleh berlaku.

Ia merangkumi pengurusan kekayaan, perancangan mengehadkan liabiliti, perancangan pegangan saham perniagaan, perancangan penggantian dan pengurusan hutang. Sesiapa pun tidak sepatutnya mengalami kerugian yang sia-sia disebabkan nasihat pelaburan yang kurang baik atau kegagalan untuk melindungi aset mereka.

Umat Islam juga mempunyai kewajipan untuk memastikan kekayaan mereka dibahagi secara saksama di antara ahli keluarga, semasa mereka hidup dan selepas mereka mati.

Faraid (pembahagian harta pusaka berasaskan hukum Islam) memainkan peranan penting dalam perancangan harta pusaka Islam. Bagaimanapun, dalam faraid, terdapat unsur fleksibel yang tidak disedari ramai orang, fleksibiliti yang melindungi keperluan individu apabila membuat perancangan pembahagian harta pusaka.

Ramai salah anggap seseorang tidak perlu membuat persediaan memandangkan semua boleh diuruskan mengikut faraid. Ini benar, tetapi fleksibiliti dalam faraid dan keupayaan untuk memutuskan apa yang boleh dilakukan sebelum kematian mengikut keperluan individu perlu diberi perhatian umat Islam dalam perancangan pembahagian harta pusaka.

Selain itu, di bawah peraturan faraid, waris terdekat bukan beragama Islam, anak angkat atau anak luar nikah, tidak berhak mewarisi harta pusaka peninggalan umat Islam. Satu elemen penting ‘perancangan harta pusaka Islam’ ialah pelantikan wasi atau pentadbir harta pusaka yang boleh menimbulkan banyak kerumitan jika dilaksanakan selepas kematian.

Instrumen pembahagian harta pusaka

Bagaimanakah anda boleh memastikan harta pusaka dan kekayaan dibahagikan di antara waris yang anda pilih? Kita lihat pilihan yang ada.

Wasiat adalah dokumentasi sah yang menetapkan bagaimana anda membahagikan aset apabila meninggal dunia. Ini satu daripada pelbagai cara untuk memperoleh dan membahagikan kekayaan dalam Islam.

Fleksibiliti dalam wasiat membolehkan umat Islam mewasiatkan sebahagian harta pusaka yang boleh diwasiatkan menurut kemahuannya, termasuk kepada bukan Islam. Ini satu bentuk hadiah atau pemberian yang dilaksanakan selepas kematian pewasiat dan pemberian ini juga dikenali sebagai wasiyah. Jumlah wasiyah tidak boleh melebihi satu pertiga daripada jumlah aset dan waris yang layak atau sah tidak layak mendapat wasiyah.

Sementara itu, hibah adalah pemindahan harta berbentuk ihsan