AKU TIDAK RELA MENJADI KETUA BIDADARINYA DI SYURGA !

Ismail seorang kontraktor berjaya. Dia telah berumahtangga dengan Laila dan mempunyai seorang anak perempuan Fariza. Sebagai seorang kontraktor, Ismail kerap kerja outstation kerana projeknya di merata tempat. Satu hari Ismail meninggal dunia kerana kemalangan. Ketika acara pengkebumian, Laila terperanjat apabila dia didatangi oleh seorang wanita muda bernama Linda yang membawa seorang bayi lelaki memperkenalkan dirinya sebagai isteri muda Ismail yang dinikahi di sempadan setahun yang lepas.

Dilema seorang isteri.

Emosi Laila terganggu. Sudahlah kematian suami tiba-tiba dia mendapati dia telah dimadukan tanpa pengetahuannya. Sedih dan terperanjat kerana dia langsung tidak menyangka Ismail yang penyayang, baik dan lemah lembut telah memadukannya. Persoalan demi persoalan menerjah ke fikirannya, “Apa kurangnya aku,” , “tak cukupkah layanan dan pengorbanan yang diberinya selama ini.” Dan macam-macam lagi rasa tak puas hati kepada Ismail diluahkannya kepada saya. Saya hanya senyum dan mengangguk tanda ‘empathy’ kepada keadaannya. Ini bukan kali pertama saya berdepan dengan isteri / balu yang melalui situasi yang sama.

Saya berjumpa Laila di dalam satu ceramah beberapa tahun lepas. Selepas saya menjawab segala soalannya berkaitan harta pusaka, dia  bertanya soalan akhir kepada saya, “Boleh tak saya tak mahu jadi ketua bidadari kepada suami saya di syurga ? Saya rasa tertipu!” Saya terperanjat kerana saya tak pernah ditanya soalan sebegini dan jawapannya juga sebenarnya di luar dari pengetahuan saya.

Secara seloroh saya menjawab , “ Kahwinlah saja suami baru. Di syurga nanti ikut suami baru jangan ikut arwah ni!” jawab saya sambil tersenyum. “Buat mengotor je. Umur saya pun dah 60 tahun!” Balas Laila sambil tergelak sambil memohon izin untuk memberikan nombor telefon saya kepada madunya bagi mereka menyelesaikan masalah ini.

Kesan faraid.

Apa kesan kewujudan isteri baru kepada agihan harta pusaka Ismail ? Laila hanya mempunyai seorang anak perempuan, Fariza. Jika Ismail meninggal dunia dalam keadaan ini, Laila berhak ke atas  2/16 dan Fariza berhak ke atas 8/16 dari harta pusaka manakala 6/16 ialah hak Baitulmal kerana tiada waris lain yang wujud.

Kemunculan Linda, isteri baru Ismail dengan anak lelakinya telah mengubah sepenuhnya struktur faraid Ismail. Sekarang Laila dan Linda  baru mendapat bahagian yang sama banyak iaitu  setiap seorang mendapat 3/48 . Fariza hanya mendapat bahagian 14/48 manakala bayi lelaki Ismail mendapat bahagian 28/48. Maknanya bahagian yang berhak ke atas Linda dan bayi lelakinya jauh lebih banyak iaitu 31/48 berbanding Laila dan Fariza yang hanya mendapat 17/48 !

Saya faham perasaan Laila. Bukan mudah untuk seorang isteri menerima hakikat dimadukan tanpa pengetahuan selepas berpuluh tahun berumahtangga dan lebih sukar lagi menerima hakikat harta pusaka suaminya perlu dikongsi pula dengan orang lain yang tidak dikenalinya. Namun itu adalah hukumnya. Semua waris yang berhak mengikut hukum faraid perlu diserahkan bahagian mereka kecuali jika mereka menolaknya.

Kisah yang ada ‘twist’nya.

Kisah Laila dan Linda ini ada ‘twist’nya lagi. Bukan tarian twist ya. Ada kerumitan lain menunggu waris-waris Ismail ini. Linda menghubungi saya dan menceritakan kisahnya pula.   Linda sebenarnya ialah seorang arkitek yang bekerjasama dengan Ismail dalam projek pembinaannya. Kerana selalu bertemu atas urusan kerja, mereka selalu keluar makan bersama dan akhirnya timbul rasa kasih sayang di hati Linda. Tambahan pula Linda anak yatim piatu tunggal. Linda jatuh cinta kepada Ismail kerana Ismail lelaki yang lemah lembut dalam percakapan dan tindakannya. Linda melihat Ismail sebagai ‘father figure’ yang matang dan bertanggungjawab.

Jika dalam keadaan biasa lelaki meminang wanita, dalam kes ini Linda yang meminang Ismail! Ismail asalnya menolak walaupun dia sebenarnya ada hati juga dengan Linda. Alasan Ismail ialah dia sudah berumahtangga dan tidak mahu mencari perbalahan dengan Laila.

Hati lelaki mudah cair.

Hati lelaki bila hari-hari digoda, diucap kata-kata manis, disenyum dan dilirik kenyitan mata, akhirnya cair. Linda berjaya meyakinkan Ismail yang dia hanya memerlukan seorang suami tempat dia bergantung kasih sayang dan boleh melindunginya sahaja. Dia tidak perlukan harta Ismail. Bab harta, makan minum dan sara hidup, Linda berkemampuan untuk menampung diri sendiri.

Ismail dan Linda akhirnya mencapai kata sepakat untuk bernikah di sempadan. Rakan-rakan Ismail yang berpengalaman nikah di sempadan memberi galakan dan panduan kepada Ismail bagaimana dan ke mana harus dituju. Siap bagi nama dan nombor telefon ‘ejen’ yang boleh uruskan segala-galanya di sempadan.

Pada hari yang dirancang itu, Ismail dan Lindapun masuk ke sempadan negara jiran di sebelah utara untuk bernikah dan selepas itu memandu terus ke Hatyai untuk honeymoon. Pengantin baru ini rasa sangat bahagia dan gembira. Laila pula dalam masa yang sama tak syak apa-apa kerana memang menjadi kebiasaan Ismail outstation sehingga 5 hari.

Linda dikategorikan ‘bunting pelamin’ kerana terus mengandung dua bulan selepas pernikahan itu, maklumlah pengantin baru. Linda terus-terusan mendesak Ismail untuk memohon pengesahan poligami di Mahkamah Syariah kerana bimbang bila anaknya lahir kelak akan timbul masalah untuk mendaftarkan kelahiran anak itu kerana ketiadaan sijil nikah Malaysia.

Ismail serba salah dan takut kerana bimbang Laila akan tahu tentang pernikahannya jika permohonan pengesahan poligami ini dibawa ke Mahkamah Syariah. Jadi Ismail kerap menangguhkannya dengan alasan sibuk.

Selepas anaknya lahirpun, Ismail masih tidak bertindak mengesahkan pernikahannya dengan Linda. Ditakdirkan selepas itu, Ismail meninggal dunia. Kini Linda juga bermasalah kerana untuk mendaftarkan anaknya dan mendapat hak ke atas harta pusaka Ismail, dia perlu mengesahkan terlebih dahulu pernikahannya sedangkan Ismail sudah meninggal dunia dan Linda tidak tahu di mana Ismail menyimpan sijil nikah mereka !

Laila sedih kerana tidak sangka dimadukan. Linda pula sedih kerana pernikahannya belum disahkan di Mahkamah Syariah malah sijil nikahnya di sempadan pun tak dapat dikesan kerana semuanya disimpan Ismail.

 

Makin pening kepala.

Saya pun pening macam mana nak tolong Laila dan Linda. Mail … Mail, kau punya hal isteri-isteri pula yang tanggung bebannya. Saya suka nak nasihatkan para suami, kalau berani buat beranilah tanggung juga. Jangan lepas tangan. Kalau bab pentadbiran seperti ini pun suami tak boleh settle, janganlah berangan nak berpoligami. Itu belum sentuh bab berlaku adil lagi.

Keadaan bertambah buruk bagi syarikat milik Ismail. Walaupun Laila ialah ‘sleeping partner’ syarikat pembinaan Ismail, dia hanya  memegang 1% saham, dia tidak tahu apa-apa pun pasal bisnes syarikat. Malah semua cek dan urusan pembayaran melalui internet, Ismail ialah penandatangan dan authorizer tunggal.

Semasa Ismail meninggal dunia, ada beberapa projek pembinaan sedang berjalan. Sub kontraktor, pembekal, pekerja projek semuanya mengejar Laila untuk mendapatkan bayaran mereka. Gaji dan KWSP kakitangan pun telah tertunggak beberapa bulan. Prestasi syarikat pembinaan itu semakin merosot. Pekerja yang selama beberapa bulan tidak mendapat gaji mula meninggalkan syarikat. Malah ada sub kontraktor dan pembekal mula menghantar gangster ke rumah Laila untuk menuntut hutang. Mereka tidak percaya Laila tak mampu bayar kerana rumah banglo Ismail tersergam indah.

Laila, Linda dan semua anak-anak mereka berdepan situasi yang sukar. Bukan sahaja harta pusaka itu tersangkut tak boleh diurus malah kedudukan harta pusaka itu juga mungkin terjejas kerana ada hutang yang perlu dijelaskan.

 

Peringatan untuk para suami yang berpoligami.

Saya suka nak pesan kepada para suami yang berhasrat untuk berpoligami supaya mengikut prosedur yang betul di Malaysia. Dengan cara ini hak dan kebajikan semua pihak akan terjaga. Isteri pertama mungkin akan ‘terluka’ sekejap tetapi akhirnya akan menerima takdir yang tertulis.

Bagi suami yang secara  ‘tidak sengaja’ telah terpoligami di sempadan, buatlah tindakan bijak untuk melalui proses mahkamah syariah di Malaysia bagi mendaftarkan perkahwinan itu segera. Ya anda pasti akan berdepan dengan isteri pertama yang akan mengamuk persis singa yang  ‘terluka’ kerana tidak tahu dia telah dimadukan, tetapi lama kelamaan dia juga akan menerima takdir yang tertulis.

Buat juga tindakan bijak untuk merancang harta dengan baik dan adil kepada kedua-dua keluarga. Selepas kita mati kelak, waris-waris yang menerima harta dengan baik ini akan memuji dan mendoakan kita tetapi jika sebaliknya berlaku, waris-waris akan memaki hamun dan menyumpah seranah atas kegagalan kita berlaku adil. Fikir-fikirkan ya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

*Penulis ialah Hj Ariffin Sabirin, Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah Shoppe Berhad yang berpengalaman selama 22 tahun di dalam perancangan harta dan pengurusan pusaka orang Islam. Artikel ini ialah hak penulis dan sekiranya ia diulangsiar atau dimodifikasi tanpa kebenaran penulis, penulis mempunyai hak penuh untuk mengambil tindakan undang-undang yang bersesuaian.