Minggu ini kita sambung lagi mengenai wasiat dan untuk pemahaman pembaca saya menggelarkan wasiat ini ‘wasiat rojak’. Namun, jangan salah sangka yang terma ini membawa makna negatif. Rojak sedap dan antara makanan kesukaan rakyat Malaysia termasuk saya.

‘Wasiat rojak’ ini maksud saya ialah wasiat yang dicampurkan fungsinya dari kedua-dua sudut undang-undang sivil dan undang-undang syariah. Banyak pihak dalam industri mempromosikan ‘wasiat rojak’ ini.

Ia bukanlah sesuatu yang buruk atau mencacatkan wasiat itu sendiri, cuma ia memberikan cabaran kepada waris yang ingin melaksanakannya.

Kandungan utama wasiat ini ialah pelantikan wasi dan tanggungjawab wasi yang diselitkan juga hasrat pewasiat untuk membahagikan harta pusakanya kepada pihak-pihak tertentu. Contohnya pembahagian harta kepada isteri dan anak-anak.

Tanggungjawab

Wasiat sebegini mempunyai dua jurisdiksi undang-undang. Pelantikan wasi dan tanggungjawabnya itu lebih menjurus kepada bidang kuasa Mahkamah Sivil (jika wasi yang dilantik ialah individu atau syarikat amanah) manakala jika wasi yang dilantik ialah Majlis Agama Islam Negeri, ia terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah (bagi negeri yang mempunyai Enakmen Wasiat masing-masing).

Bagi wasiat yang menyatakan pula hasrat pewasiat supaya harta pusakanya diagihkan kepada pihak-pihak tertentu, maka klausa wasiat tersebut ialah di bawah bidang kuasa

Mahkamah Syariah.

Contohnya, Faizal semasa hidup membuat wasiat yang kandungannya ialah melantik isterinya, Fazidah sebagai wasi dan disebut juga keseluruhan harta­nya diwasiatkan kepada Fazidah (50 peratus) dan bakinya kepada Fatimah anaknya (50 peratus). Dalam masa sama, Faizal ada tiga adik lelaki. Ibunya telah lama meninggal dunia.

Ini bermakna waris mengikut hukum faraid kepada Faizal ialah Fazidah (2/16), Fatimah (8/16) dan adik-adik lelakinya (2/16 setiap seorang). Wasiat Faizal perlu melalui kedua-dua bidang kuasa iaitu undang-undang sivil (untuk pelantikan wasi) dan Mahkamah Syariah (untuk pembahagian harta).

Jurisdiksi undang-undang sivil berkaitan harta pusaka pula terbahagi tiga iaitu Amanah Raya Berhad (bagi kes harta alih sahaja di bawah nilai RM600,000), Pejabat Pusaka Kecil (bagi kes harta pusaka yang mempunyai harta tak alih atau alih atau kombinasi kedua-duanya yang mempunyai nilai kurang daripada RM2 juta) dan Mahkamah Tinggi Sivil (bagi harta alih atau tidak alih atau kombinasi kedua-duanya yang melebihi nilai RM2 juta).

Kedudukan Fazidah sebagai wasi yang dilantik adalah jelas jika kes pusaka Faizal ini dibicarakan di Mahkamah Tinggi Sivil kerana peruntukan Akta Probet dan Pentadbiran 1959 membenarkannya.

Geran Probet akan dikeluarkan atas nama Fazidah dan bolehlah dia mentadbir harta pusaka Faizal.

Mencabar

Namun, kedudukan Fazidah sebagai wasi di dalam wasiat agak mencabar jika kes itu dibicarakan di Pejabat Pusaka Kecil (jika harta pusaka Faizal kurang daripada RM2 juta) dan ada pula waris yang menentang pelantikan Fazidah sebagai wasi di dalam wasiat.

Ini kerana jika ada waris menentang maka wasiat itu akan dibicarakan di Mahkamah Syariah dan selepas disahkan sebagai wasi, barulah Fazidah boleh menjadi pentadbir harta pusaka Faizal dengan namanya dima­sukkan ke dalam Surat Kuasa Mentadbir yang dikeluarkan oleh Pejabat Pusaka Kecil.

Sebagai pentadbir, Fazidah bertanggungjawab mengumpulkan harta pusaka dan meng­agihkan semula harta pusaka Faizal (selepas ditolak hutang dan dengan andaian Faizal tiada apa-apa dokumen peranca­ngan harta seperti hibah, harta sepencarian dan amanah), kepada waris-waris mengikut hukum faraid di atas iaitu kepada dirinya, Fatimah dan adik-adik lelaki Faizal.

Pening kepala nak memahamkan prosesnya kan? Saya pun begitu juga ketika baru menceburi industri ini 21 tahun lepas. Sebab itulah bagi menguruskan ‘wasiat rojak’ ini, kemahiran, pengalaman dan penge­tahuan tinggi diperlukan.

Ramai yang cakap urusan pusaka ini senang. Buat dokumen saja semua masalah selesai. Bila pelbagai proses undang-undang sebegini perlu dilalui, pengalaman saya menunjukkan bahawa waris biasanya buntu dan pe­ning. Siapa yang nak bantu waris ketika itu? Sila baca artikel saya minggu depan.

Saya ingin maklumkan kepada para pembaca sekalian bahawa penulisan saya bukanlah penulisan akademik. Ada ba­nyak lagi perbincangan terperinci yang telah dan sedang berjalan dalam kalangan ahli akademik dan pemain industri tentang wasiat rojak ini. Saya hanya mengemukakan panduan umum yang wajar diketahui masyarakat sahaja.

Artikel ini adalah perkongsian pengalaman dan pengetahuan peribadi penulis. Ia tidak boleh diulang cetak dalam apa bentuk atau bagi apa tujuan sekalipun kecuali dengan kebenaran penulis. Penulis berhak mengambil tindakan undang-undang kepada mana-mana pihak jika berlaku pelanggaran hak ini.