Ini persoalan yang hebat didebatkan di dalam industri hari ini. Banyak pendapat yang khilaf tentang isu ini di Malaysia. Pandangan pertama mengatakan bahawa rumah yang masih dalam pinjaman bank , tidak boleh dihibahkan. Hujahnya ialah kerana rumah itu tidak dianggap milik sempurna ( milk al tam) kepada pencagar kerana ia masih tertanggung dengan beban pinjaman dan terdapat hak penerima cagaran (bank ) terhadap harta itu. Jika hibah hendak dibuat maka kebenaran mestilah diberikan bank sebelum akad hibah itu dilaksanakan.
Kepada pihak ini, secara umumnya ( kecuali jika telah mendapat kebenaran bank ) , hanya harta yang sudah tidak mempunyai apa-apa tanggungan hutang sahaja yang boleh dihibahkan iaitu harta yang dimiliki orang-orang yang sudah berumur yang telah menyelesaikan segala pinjaman perumahannya atau orang-orang-orang kaya yang membeli rumah secara tunai ( bukan menggunakan pinjaman bank ).
Pandangan pihak kedua pula menjurus kepada hibah boleh dibuat ke atas rumah yang masih di dalam pinjaman kerana secara prinsipnya rumah itu milik pencagar cuma ia dicagarkan sahaja kepada penerima cagaran ( bank ) sebagai jaminan bayaran balik pinjaman. Ini selaras dengan pandangan Syafie yang mengatakan, “Manfaat harta yang dicagar adalah milik pencagar dan perbelanjaan pengurusan harta tersebut adalah tanggungjawabnya”.
Ini bermakna rumah itu walaupun telah dicagar masih milik pencagar. Buktinya ? Pencagar bebas untuk bertransaksi dengan rumah itu. Dia boleh menyewa, menjual, mengecat atau merenovasi rumah itu walaupun ia dicagar kepada pembiaya ( bank ).
Pihak kedua juga menghujahkan bahawa hibah ini boleh dibuat asalkan hak dan kepentingan bank TERJAGA serta beberapa SYARAT DIPENUHI. Pandangan saya ? Saya mengambil pandangan yang lebih dekat kepada maslahat masyarakat itu sendiri iaitu pandangan pihak kedua.
Penyelidikan yang kami jalankan pada 2017 dengan pasukan penyelidik profesional dan berkelayakan dari beberapa universiti, menemukan kami dengan dapatan bahawa hibah bagi rumah yang masih di dalam pinjaman bank boleh dilaksanakan. Namun terdapat syarat-syarat tertentu yang mesti dipenuhi. 
Kenapa pula kami bersungguh-sungguh berbelanja puluhan ribu ringgit dan meluangkan masa dan tenaga bagi melakukan penyelidikan ini ? Ada yang menuduh kerana ia berobjektifkan keuntungan komersil semata-mata sehingga ada yang mentohmah penyelidik kami sebagai penyelidik 25% ! Inilah sifat orang kita yang cepat melontar tuduhan dan mentohmah tanpa usul periksa.
Kami bersungguh-sungguh membuat penyelidikan kerana dari pengalaman kami, ada keperluan mendesak dalam masyarakat untuk hibah harta bercagar ini. Apabila orang yang sudah berumur meninggal dunia, anak-anak mereka kebiasaannya sudahpun berkerjaya dan mampu menanggung diri sendiri. Harta pusaka yang ditinggalkan hanyalah berdepan risiko pengurusan pusaka seperti lambat atau risiko perbalahan waris. Hutang ke atas rumah biasanya telah habis dibayar. Situasi ini secara umum tidak menjejaskan kehidupan waris-waris.
Tetapi jika yang meninggal dunia itu ibu atau bapa muda dengan anak di bawah umur 18 tahun yang masih belajar dan rumahnya masih mempunyai hutang, situasi akan menjadi sangat sukar untuk pasangan dan anak-anak yang ditinggalkan . Banyak kes saya temui, waris-waris yang berhak ( selain pasangan dan anak-anak ) bersungguh-sungguh menuntut hak mereka ke atas rumah itu tetapi enggan bersama-sama membantu menyelesaikan hutang tertunggak. Maka biasanya pasangan atau anak-anaklah yang terpaksa berhempas-pulas mencari jalan menanggung bayaran bulanan atau menyelesaikan hutang tertunggak kerana mereka yang menetap di rumah itu. Apabila berjaya diselesaikan, hak waris-waris lain tadi tetap perlu ditunaikan ( jika mereka enggan melepaskannya ).
Ini kisah realiti yang banyak saya temui. Hibah bagi rumah yang masih di dalam pinjaman apabila dibuat dapat mengelakkan risiko ini. Jika rumah telah dihibahkan kepada pasangan dan anak-anak maka ia sah menjadi milik mereka. Ia tidak boleh dituntut oleh waris-waris lain. Jikapun mereka terpaksa berhempas pulas mencari jalan menyelesaikan hutang yang tertunggak, rumah itu sudahpun menjadi milik mereka.
Perlu diingatkan, kuasa untuk menentukan sama ada sesuatu hibah itu sah atau tidak bukanlah terletak di tangan kita masyarakat awam secara individu walau pandai bagaimanapun kita. Kuasa itu adalah milik eksklusif Mahkamah Syariah melalui para hakim Syariah yang bijaksana.
Di Mahkamah Syariah sudahpun terdapat kes-kes hibah bagi harta yang di dalam cagaran telah diluluskan sebagai sah oleh Mahkamah Syariah. Ada kes Maybank dan ada juga kes CIMB Bank. Jadi untuk mengeneralisasikan bahawa semua hibah untuk harta yang masih bercagar itu tidak sah adalah tidak benar sama sekali. Jika benar ia tidak sah secara keseluruhannya, maka tidak sepatutnya ada satu pun kes hibah harta bercagar disahkan oleh Mahkamah Syariah.
Logikkan?
*Penulis ialah Hj Ariffin Sabirin, Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah Shoppe Berhad yang berpengalaman selama 22 tahun di dalam perancangan harta dan pengurusan pusaka orang Islam. Artikel ini ialah hak penulis dan penulis mengizinkan ia diulangsiar oleh mana-mana pihak bagi tujuan pendidikan masyarakat. Walaubagaimanapun sekiranya artikel ini dimodifikasi atau digunakan bagi kepentingan komersil pihak lain tanpa kebenaran penulis, penulis mempunyai hak penuh untuk mengambil tindakan undang-undang yang bersesuaian.
