
HIBAH HANYA BOLEH DIBUAT JIKA ADA SYARAT YANG MUNASABAH SAHAJA?
Ini satu lagi soalan yang ditanya kepada saya kebelakangan ini. Adakah benar seperti yang didakwa sesetengah pihak bahawa hanya apabila ada sebab-sebab tertentu yang dianggap munasabah sahaja barulah hibah boleh dibuat?
Sebenarnya setakat pengetahuan saya secara peribadi, amalan dan pengalaman 18 tahun kami di Wasiyyah Shoppe Berhad turun naik
Mahkamah Syariah menguruskan kes hibah, muzakarah ilmiah yang kami adakan setiap tahun dengan pakar-pakar hukum syarak dan undang-undang syariah dan penyelidikan ilmiah yang kami laksanakan bersama universiti selama ini, kami tidak pernah menjumpai apa-apa peruntukan dalam hukum syarak yang mengatakan hibah hanya boleh dibuat dalam keadaan tertentu sahaja.
Hibah ialah salah satu kaedah pelupusan harta yang dibenarkan Islam sama seperti kaedah wasiat, amanah, sedekah, waqaf dan penjualan ( sales ) harta. Sesiapapun pemilik harta bebas untuk melakukan transaksi ini pada bila-bila masa yang dikehendakinya asalkan harta itu sah miliknya.
Tiada apapun sekatan dari segi hukum yang menetapkan seseorang hanya boleh hibah jika wujud situasi tertentu sahaja dan jika situasi itu tidak wujud maka hibah itu tidak sah atau berdosa untuk dilaksanakan.
Hibah sah apabila semua rukun dan syaratnya sempurna dilaksanakan. Ini faktor paling kritikal.
Walaupun begitu pemberi hibah hendaklah faham sepenuhnya tentang kesan hibah yang dibuatnya walaupun dari segi hukum ia sah.
Oleh kerana potfolio aset, struktur faraid dan hubungan sesama waris setiap orang itu berbeza, maka pastilah kesan hibah itu berbeza juga untuk setiap orang.
Bukan sekadar hibah malah wasiat, harta sepencarian dan amanah, semuanya bila dibuat akan memberi kesan tersendiri.
Waris bukan sahaja tidak setuju dan berbalah tentang hibah malah mereka akan mempertikaikan apa sahaja instrumen termasuklah wasiat, harta sepencarian atau amanah apabila mereka faham bahagian mereka akan berkurangan secara signifikan.
Jadi adakah benar hibah hanya boleh dibuat jika wujud keadaan munasabah tertentu sahaja ? Jawapannya ialah TIDAK BENAR.