BUAT HIBAH TIDAK PERCAYA HUKUM FARAID?

Kongsikan

BETUL KE BILA KITA BUAT HIBAH KITA TAK PERCAYAKAN HUKUM FARAID DAN WARIS FARAID ?

Pada 2018, saya pernah duduk sepentas di dalam forum dengan seorang hamba Allah yang sangat berpengalaman dan berkepakaran di dalam urusan harta pusaka. Forum itu bertajuk “Penyelarasan amalan hibah di Malaysia”.
 
Peserta forum itu terdiri dari wakil-wakil Majlis Agama Islam Negeri-negeri, Pejabat Undang-undang Negeri-negeri serta Wakil Jabatan Kehakiman Syariah Negeri-negeri. Kami berforum untuk mencanai idea bagaimana untuk menyelaraskan amalan hibah di negeri-negeri supaya amalan hibah di kalangan umat Islam Malaysia dapat diseragamkan dan disuburkan.
 
Duduk di pentas selain saya dan hamba Allah itu ialah Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman, bekas Ketua Hakim Syarie Malaysia dan figura perundangan Islam yang sangat dihormati di Malaysia.
 
Saya dan Tan Sri mengutarakan pandangan tentang apakah isu-isu hibah yang mesti diberikan perhatian supaya boleh diselaraskan di peringkat negeri apabila draf akta dan enakmen berkaitan hibah diperkenalkan.
 
Antaranya ialah isu hibah harta bercagar dan hibah bersyarat yang banyak khilaf tentangnya. Tan Sri berkongsi pengalamannya membangunkan hibah Tabung Haji. Saya pula berkongsi pengalaman Wasiyyah Shoppe Berhad membangun perkhidmatan hibah patuh syariah, mempromosikan hibah sebagai alternatif perancangan harta dan berurusan dengan waris sehingga kes2 hibah di bawa ke Mahkamah Syariah semenjak 2004.
 
BIla tiba giliran hamba Allah ini memulakan perkongsiannya antara ayatnya yang paling awal yang saya masih ingat dengan jelas sehingga hari ini ialah, ” Saya hairan dengan orang Islam hari ini. Sikit-sikit hibah, sikit-sikit hibah. Ramai pasangan yang tak ada anak, ada anak perempuan sahaja dan ada anak angkat, datang jumpa saya nak buat hibah. Rasanya macam tak boleh tidak mesti nak buat hibah. Kenapa kita tak pecayakan hukum faraid ?”
 

Dia tambah lagi, “Lagi teruk ada pulak orang yang menakutkan-nakutkan lagi kalau tak buat hibah nanti isteri, anak perempuan atau anak angkat kena aniaya dengan waris lain. Seolah-olah macam hukum faraid itu tak adil. Seolah-olah macam kita tak percaya dengan hukum Allah.” Dan dia pun terus bercakap bagaimana kita mesti percaya dengan waris-waris faraid bahawa mereka akan menerima bahagian masing-masing dan menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin membela kebajikan anak-anak simati. 

Saya memandang Tan Sri Sheikh Ghazali sambil tersenyum. Dia membalas senyuman saya. Peserta-peserta forum juga kelihatan agak keliru dan ada reaksi kurang selesa kerana kami berkumpul hari itu untuk mencari idea bagaimana nak menyelaraskan amalan hibah di Malaysia tetapi hamba Allah ini memberi penyampaian seolah-olah seperti amalan hibah itu sendiri membawa umat Islam kepada tidak percaya dengan hukum faraid.
 
Izinkan saya jelaskan untuk pengetahuan masyarakat Malaysia supaya tidak terkeliru dengan hujah sedemikian :
 
1. Amalan hibah itu juga merupakan sebahagian dari hukum syarak berkaitan penghartaan. Asalkan sahaja ia dibuat mengikut hukum dan syarat yang ditetapkan syarak, ia sah dan berkuatkuasa. Terlalu banyak perbincangan ulamak muktabar dunia ( bukan Malaysia sahaja ) tentang isu ini . Hibah satu ALTERNATIF ( nak buat boleh tak nak buat pun tak apa ) yang diberikan Islam kepada kita untuk kita merancang semasa hidup. Jika harta itu tidak dirancang semasa hidup, apabila matinya tuan punya harta, ia menjadi harta pusaka dan WAJIB ia akan diagih mengikut hukum faraid. Kedudukan ini jelas.
 
2. Tidak timbul isu bila kita membuat hibah, kita tidak percaya dengan hukum faraid dan waris-waris faraid kita. Sheikh Sulaiman Al Rajhi telah menghibahkan dan mewakafkan keseluruhan hartanya sekarang ketika dia masih hidup. Bila dia mati nanti, hukum faraid langsung tidak tertakluk ke atas hartanya kerana sekarang pun dia tidak memiliki apa-apa harta. Adakah beliau tidak yakin dengan hukum faraid ? Adakah beliau tidak percaya dengan waris-waris faraidnya ?
 
3. Sistem kehakiman syariah Malaysia ialah antara yang paling ‘advance’ di dunia. Draf enakmen dan akta berkaitan hibah sedang dirangka untuk maslahat umat Islam. Di peringkat Majlis Pengawasan Syariah Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti juga telah mengiktiraf hibah sebagai mekanisme perancangan harta. Adakah para mujtahid berkepakaran dan berilmu tinggi di dalam Majlis Pengawasan Syariah dua badan tertinggi di Malaysia ini tidak tahu, membuat hibah itu menyebabkan umat Islam tidak yakin dengan hukum faraid ?
 

4. Adakah bila saya membuat hibah maka hukum faraid tidak akan berjalan ke atas harta pusaka saya ? Ini pun satu kekeliruan besar di pihak berkenaan. Saya hanya menghibahkan harta tertentu sahaja kepada pasangan dan anak-anak saya bukan kesemua harta saya seperti apa yang dibuat Sulaiman Al Rajhi ( Di Malaysia tidak semua harta boleh dihibahkan kerana ada harta yang sifatnya tidak mengizinkan rukun atau syarat hibah dipatuhi). 

Dalam pengalaman kami di Wasiyyah Shoppe Berhad, antara harta yang paling banyak dihibahkan ialah hartanah. Bagi kes saya yang mempunyai anak perempuan saja, Saya mungkin boleh percayakan adik-adik saya bila mereka dapat hak ke atas rumah saya mengikut hukum faraid, tetapi saya tidak boleh membaca risiko yang mungkin timbul selepas kematian mereka pula.
 
Bahagian rumah saya yang mereka miliki, akan diwarisi pula oleh waris-waris faraid mereka iaitu pasangan dan anak-anak mereka. Pasangan dan anak-anak saya sekarang perlu pula berurusan dengan pasangan dan anak-anak adik-adik saya. Bab tu saya susah nak baca apa yang bakal berlaku.
Saya membesar bersama adikberadik saya dan kami kenal rapat satu sama lain tetapi pasangan dan anak-anak saya hanya kenal “gitu2” saja dengan pasangan dan anak-anak adik-adik saya. Bolehkah mereka bermuafakat bila datang hal harta saya ? Jadi untuk mengelakkan risiko itu, saya menggunakakan kaedah hibah.
 
JIka saya hibahkan rumah itu sahaja, maka rumah itu sahajalah yang menjadi milik pasangan dan anak-anak saya, harta pusaka yang lain seperti akaun bank, saham koperasi yang berpenama, KWSP saya tetap diagih ikut hukum faraid. Jadi hujah faraid itu akan dilupai dan tidak akan tertakluk kepada harta pusaka si pemberi hibah adalah tidak valid.
 

5. Tiada sesiapapun yang menakut-nakutkan masyarakat supaya membuat hibah kerana nak elakkan pasangan dan anak-anak dianiaya waris faraid yang lain atau nak melakukan produk hibah mereka.

Kita tetap yakin 100% hukum faraid itu adalah yang terbaik untuk kita sepertimana aturan Allah SWT. Namun hibah juga adalah tawaran yang Allah berikan kepada kita untuk dipertimbangkan. Kedua-duanya, hukum faraid dan hibah adalah hukum Allah. Yang membezakan ialah hibah mesti dibuat ketika hidup di saat harta itu milik sah kita kerana kitalah yang berkuasa ke atas harta itu. Faraid pula berkuatkuasa ke atas harta pusaka iaitu harta milik simati.
 
 Bila kita kata masyarakat hari ini ditakutkan atau dimomokkan, kita seolah-olah menyangka masyarakat itu tidak cerdik dan tidak boleh membuat pertimbangan. Bukankah masyarakat hari ini boleh akses kepada pelbagai maklumat di hujung jari sahaja ? Bukankah masyarakat hari ini lebih ‘observant’ dan ‘educated’ dan mereka boleh menilai sendiri buruk baik setiap tindakan mereka ? Bukankah masyarakat hari ini lebih alert dengan apa-apa insiden berkaitan harta pusaka yang berlaku di sekeliling mereka ? Tiada paksaan atau unsur menakutkan di dalam membuat hibah.
 
Akhirnya saya berharap semua pihak memainkan peranan masing-masing mendidik masyarakat tentang ilmu-ilmu penghartaan Islam. Ilmu penghartaan ini sangat luas dan semakin dipelajari semakin banyak yang kita tidak tahu.
 
Saya yang sudah bergelumang dalam industri ini semenjak 1998 dan telah merasai pelbagai sepak terajangnya pun masih belajar dari pelbagai guru-guru pakar. Semakin dipelajari semakin kerdil rasanya, semakin banyak yang tidak diketahui !
 
Islam itu indah dan lengkap. Janganlah kita pandang hibah ini dari satu sudut buruk semata-mata dan membutakan mata dan hati kita kepada sudut kebaikannya. Hibah juga hukum Allah dan bukan dicipta oleh manusia.
 
Apapun ini hanyalah pandangan peribadi saya insan yang serba daif ilmunya. Saya tiada phD dalam bidang ini tapi Alhamdulillah dibimbing Panel Syariah yang 5 daripadanya ada phD di dalam bidang hibah dan fiqh mawarith. Merekalah yang membimbing Wasiyyah Shoppe Berhad dalam memastikan aturan hibah yang kami perkenalkan kepada masyarakat Malaysia patuh hukum syarak, patuh undang-undang syariah dan boleh diaplikasi mengikut hasrat pemberi hibah.
 
Saya tidak memaksa pandangan saya diterima sesiapa kerana ramai orang di luar sana yang jauh lebih pakar dalam urusan ini berbanding saya. Akhirnya Allah SWT sahaja yang tahu apa yang ada di dalam hati kita dan saya sentiasa mendoakan kebaikan untuk semua pejuang ilmu penghartaan di Malaysia. Wallahua’lam.
 
ABS
Daie Mawarith Sepanjang Hayat ( DMSH )

 

Comments (4)

  • Afendi Ab Rahim

    April 24, 2021 - 10:47 am

    Saya pelanggan wasitah Delima. Boleh terangkan kos utk buat hibah

    • admin

      May 4, 2021 - 1:36 pm

      Boleh saya dapatkan nombor telefon tuan dan lokasi? Pegawai kami akan menghubungi tuan dalam masa terdekat.

    • Mohd Khairy Mustaffa

      October 25, 2021 - 5:30 pm

      assalamualaikum. sekiranya sistem kehakiman syariah malaysia adalah yang paling advance. Kenapa dalam pinjaman pinjaman bank yang rata rata dinyatakan patuh syariah.. tapi akhirnya bila ada default, gagal bayar.. semuanya kena ke mahkamah konventional bukan mahlamah syariah. Kenapa…? Im

  • tok misai

    May 4, 2021 - 3:54 pm

    Bagi saya apa yang diguna pakai zaman dahulu kala tak semestinya sesuai zaman sekarang. Kita kena ikut perkembangan semasa. Golongan perempuan sekarang ini lebih pandai, berdikari dan tidak hairan juga kalau mereka ini ‘breadwinner’.

    Graduan universiti lebih banyak perempuan dari lelaki. Malah ramai juga yang jadi boss atau manager dalam syarikat. Kenapa hak masih lagi separuh dari lelaki?

    Bila kita guna kaedah zaman dahulu kala pada zaman sekarang akan jadi bermacam macam masalah.

    Tanah orang melayu yang beku tak mendatangkan hasil, adik beradik tak bertegur sapa, anak terbiar dan lain.

    Kita kena anggap bukan semua orang tahu pasal hibah, wasiat ataupun estate planning. Tapi hakikatnya masalah2 di atas berpunca dari sistem faraid.

    Ada ustad cakap biarlah adik beradik kita dapat harta tapi tak jaga kebajikan waris, dia akan jawab sendiri di akhirat. Yang sakitnya adalah isteri dan anak2 kita di dunia.

Leave A Comment

Cart

No products in the cart.