Ramai yang masih keliru. Ada yang tanya saya, bila dah buat hibah takaful, hibah harta yang lain tak perlu ke ? Ada perunding takaful (tak semua) yang menyampaikan maklumat begitu. Malah ada juga perunding takaful hari ini yang masih mempromosikan kalau dah buat hibah takaful, semua masalah pusaka selesai. Ini hujah yang TIDAK TEPAT !
Kalau pada peringkat 3 tahun pertama IFSA 2013 diperkenalkan, bolehlah diterima alasan mungkin ada perunding takaful yang terkeliru kerana Akta itu masih baru, tapi kalau dah 7 tahun masih tak faham, tak tahulah nak kata apa.
BEZA HIBAH TAKAFUL DAN HIBAH HARTA
Hibah takaful yang anda buat ialah untuk anda pastikan orang tertentu yang anda namakan sebagai ‘penerima hibah’ mendapat manfaat takaful anda sepenuhnya. Bila dia terima manfaat itu, ia tidak menjadi harta pusaka dan tak perlu diagihkan kepada waris faraid kerana ia telah dihibah.
Hibah takaful tiada kena mengena dengan harta anda yang lain seperti rumah, saham, barang kemas, kenderaan dll. Hibah takaful hanya terkait dengan polisi takaful yang anda miliki sahaja.
Hibah harta ialah hibah yang anda buat ke atas harta anda yang lain. Contohnya anda hibahkan rumah kepada anak-anak anda. Ia melibatkan rumah itu sahaja. Rumah itu sudah menjadi milik anak anda dan tidak akan diagihkan kepada waris faraid lain kerana telah dihibah.
Harta lain seperti akaun bank, saham syarikat, kenderaan, barang kemas anda tidak terlibat. Kerana harta-harta ini tidak dihibahkan, maka ia tetap menjadi harta pusaka dan hak waris faraid ke atasnya.
AKAD HIBAH HARTA MESTI TEPAT
Membuat hibah takaful tak bermakna harta anda yang lain pun telah anda hibahkan. Akad hibah mesti tepat kerana ia rukun. Anda perlu menyebut, “Saya Omar bin Abu menghibahkan rumah saya di no 10, Jalan 15/2, Taman Cempaka, Ampang kepada anak saya Ali bin Omar.” Harta yang dihibah mestilah tepat deskripsinya dan boleh diasingkan dari harta anda yang lain. Ini rukun. Jika rukun tidak dipenuhi, hibah itu tidak sah.
Anda tidak boleh menyebut, “Saya Omar bin Abu menghibahkan semua harta saya kepada anak saya Ali bin Omar.” Lafaz ini tidak akan menjadikan hibah itu sah kerana hartanya secara spesifik tidak disebut.
Hibah takaful yang anda buat itu hanya spesifik kepada polisi takaful anda sahaja. Harta anda seperti rumah dll tetap harta pusaka dan perlu diagih kepada waris faraid.
KAMI TAK PERNAH KATA DAH BUAT HIBAH RUMAH TAK PERLU BUAT HIBAH TAKAFUL !
Wasiyyah Shoppe Berhad tidak pernah pula mempromosikan kepada masyarakat dah buat hibah rumah, tak payah buat hibah takaful. Kami faham secara jelas dari segi hukum dan undang-undang, jika sesuatu harta itu ingin dihibahkan, ia perlu melalui proses rukun dan syarat dan jika takaful pula, ia perlu comply dengan IFSA 2013.
PESANAN UNTUK PERUNDING TAKAFUL YANG MASIH TERKELIRU (BUKAN SEMUA ! )
Berhentilah mengelirukan masyarakat. Jika kita menggelarkan diri kita sebagai perunding kewangan Islam, pegang ketat kepada Amanah Ilmu. Sampaikan apa yang betul dan tepat. Bukan sampaikan apa yang menguntungkan kita. Kita akan dipertanggungjawabkan atas tindakan kita ini di dunia dan di akhirat.
Maaf jika ada yang terasa dengan teguran saya. Saya hanya ingin menegur agar kesilapan yang kita buat tidak berpanjangan dan masyarakat mendapat manfaat dari perkhidmatan kita.
Nak tahu secara tepat tentang HIBAH harta berdasarkan hukum syarak dan implimentasi undang-undang di Malaysia, mari bersama kami di Wasiyyah Shoppe Berhad sebagai daie. Anda akan didedahkan dengan ilmu perancangan harta yang sangat luas dan menarik ini. Lebih penting lagi, anda akan berpeluang belajar terus dari pakar-pakar hukum syarak dan undang-undang syariah dan sivil Malaysia berkaitan perancangan harta.
ABS
Daie Mawarith Sepanjang Hayat ( DMSH )
Comments (2)
Nur Najua
Ooo baru saya tau. Harta yg masih belum selesai pinjaman boleh dihibahkan juga kah? Cth rumah dn kereta.
Perlukah buat hibah harta jika kita sudah ada waris anak lelaki?
admin
Harta yang masih dalam pinjaman boleh dihibahkan. Malah majlis fatwa Negeri Selangor juga telah sahkan hibah harta bercagar ini.
Perlu buat hibah jika ingin menghibahkan harta kepada waris secara adil. Cth: Rumah 1 utk anak lelaki, rumah 2 untuk anak perempuan.
Jika tidak hibah, harta pusaka perlu diagihkan mengikut hukum Faraid.