wasiat dari sudut hukum syarak

Kongsikan

Minggu ini, saya akan kongsikan tentang wasiat, satu instrumen ­perancangan harta yang sepanjang pengalaman 21 tahun saya dalam industri ini, paling kerap disalah anggap oleh masyarakat.

Ramai orang Islam hari ini masih keliru dengan fungsi wasiat. Mungkin juga kerana terpe­ngaruh dengan filem Tiga Abdul karangan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Maklumlah filem tersebut diulang tayang kepada kita beribu-ribu kali.

Jadi, saya berhasrat untuk menyentuh tentang kadar yang dibenarkan wasiat. Isu lain berkaitan wasiat akan saya ceritakan pada minggu-minggu akan datang.

Ramai sebenarnya di antara kita yang tidak faham fungsi dan kuat kuasa wasiat. Bagi orang bukan Islam kedudukan wasiat sebagai instrumen untuk membahagikan harta selepas mati adalah jelas seperti termaktub dalam Akta Wasiat 1959 atau jika dia tidak meninggalkan wasiat maka hartanya akan dibahagikan mengikut Akta Pentadbiran 1958.

Bab pembahagian harta ber­kenaan orang bukan Islam bukan kepakaran saya, jadi saya tidak mahu ulas. Takut tersalah fakta.

Akta

Bagi orang Islam pula, Akta Wasiat 1959 ini tidak terpakai ke­rana Seksyen 2 akta itu menyebut dengan jelas bahawa ia tidak terpakai untuk individu yang me­nganut agama Islam.

Orang Islam tertakluk sepenuhnya kepada hukum syarak berkaitan harta dan harta pusaka manakala Mahkamah Syariah adalah entiti yang mempunyai kuasa penuh dalam penentuan hak ­waris atau pihak berkepentingan.

Jadi, berapakah kadar wasiat yang dibenarkan untuk orang ­Islam dan siapakah penerima yang boleh menerima wasiat? ­Artikel saya minggu ini akan me­ngulas wasiat dalam bahasa umum dan bukan bahasa teknikal undang-undang supaya mudah difahami para pembaca.

Wasiat itu sebenarnya adalah instrumen yang kita gunakan untuk beramal jariah pada kadar 1/3 daripada harta pusaka sejajar dengan kehendak syarak seperti kisahnya Saad Ibn Waqas, sahabat Rasulullah SAW yang terkenal itu.

Ketika geringnya, Saad bertanya Rasulullah SAW bolehkah dia mewasiatkan keseluruhan hartanya kerana dia hanya ada seorang anak perempuan sahaja.

Dijawab Rasulullah SAW, “Tidak boleh”. Ditanya lagi, “Sebahagian darinya”. Dijawab juga “Tidak” oleh Rasulullah SAW dan akhirnya bila ditanya “1/3”, barulah dijawab “Ya” oleh ­baginda dan baginda menegaskan lagi bahawa, “1/3 itupun sudah banyak. Sesungguhnya lebih baik engkau meninggalkan ahli waris engkau dalam keadaan kaya dari engkau tinggalkan mereka dalam ke­adaan miskin meminta-minta dari manusia lain.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Penerimanya pula mestilah terdiri daripada ‘bukan waris’ iaitu pihak yang tidak menerima harta pusaka mengikut hukum faraid. Contoh bukan waris ialah anak angkat, anak tiri, anak saudara dan adik beradik (dalam ke­adaan tertentu), persatuan, masjid, surau, pusat tahfiz, rumah anak yatim dan banyak lagi.

Waris

Asalkan sahaja pihak-pihak ini tidak menerima bahagian di dalam hukum faraid, maka dia berhak menerima wasiat tetapi tidaklah kadarnya boleh melebihi kadar 1/3. Apa jadi jika kadar wasiat yang diberikan itu melebihi 1/3 daripada harta pusaka?

Maka waris-waris mengikut hukum faraid perlu bersetuju dengan pemberian melebihi ­kadar tersebut.

Contohnya, Ali membuat wasiat pada kadar 1/2 kepada rumah Anak Yatim Al-Hafiz. Harta pusaka yang ditinggalkan ialah wang tunai bernilai RM1 juta sahaja. Ali meninggalkan waris empat anak lelaki.

Ali tidak meninggalkan sebarang hutang. Mengikut hukum faraid, empat anak lelaki Ali mewarisi 1/4 bahagian atau RM250,000 setiap seorang. Tetapi kerana Ali ada meninggalkan wasiat, maka wasiat perlu diagih terlebih dahulu sebelum bakinya dibahagikan di antara waris.

Isunya, wasiat Ali menyebut 1/2 daripada harta pusaka diserahkan kepada rumah Anak Yatim Al-Hafiz iaitu melebihi kadar 1/3 yang dibenarkan hukum syarak. ­Sebanyak 1/2 pula bermakna RM500,000 sedangkan yang dibenarkan hukum syarak ialah RM333,333.33 (1/3 daripada RM1 juta) sahaja.

Dalam keadaan ini, waris-waris Ali perlu memberi persetujuan ke atas baki RM166,666,67 iaitu yang melebihi RM333,333.33 dibenarkan oleh hukum syarak.

Jika mereka membenarkan, maka dapatlah rumah anak yatim Al-Hafiz itu RM500,000 seperti dihasratkan Ali. Jika mereka tidak membenarkan, maka sekadar RM333,333.33 sahajalah yang bakal diterima rumah anak yatim itu.

Kenapa pula perlu ditanya kepada waris tentang baki melebihi 1/3 itu? Ini kerana dari sudut hukum syarak, baki itu adalah milik waris-waris dan hanya mereka sahaja yang mempunyai hak melepaskan bahagian mereka.

Sekiranya anda berhasrat untuk beramal jariah kepada bukan waris pada kadar tidak melebihi 1/3, maka sesuailah anda membuat wasiat.

credit kepada: Utusan Malaysia

 

Leave A Comment

Cart

No products in the cart.