Pemikiran unik dalam urusan harta

Kongsikan

Pemikiran unik dalam urusan harta

Asalnya, saya bercadang untuk berkongsi lagi ilmu tentang wasiat bagi melengkapkan beberapa siri yang telah dirancang mengikut kronologi. Namun, saya terpanggil untuk menjawab satu respon dari pembaca berkenaan satu daripada artikel saya bertajuk “Takaful menjamin nasib waris” beberapa minggu lepas.

Pembaca berkenaan dalam status Facebook peribadinya menyatakan tajuk artikel ini boleh menyebabkan akidah kita sebagai orang Islam terpesong kerana yang menjamin nasib waris katanya bukanlah takaful tetapi Allah! Takaful, menurutnya hanyalah ikhtiar atau instrumen sahaja.

Saya bersetuju sepenuhnya dengan pandangan pembaca ini bahawa Allahlah yang menjamin nasib waris tetapi terperanjat dengan caranya berfikir. Ketika seluruh dunia sedang hebat bercakap tentang Revolusi Industri 4.0 dan penyebaran ilmu skala digital, masih ada orang berfikiran begini.

Mungkin pembaca ini hanya melihat tajuk tanpa membaca penuh artikelnya dalam konteks dan perspektif yang tepat. Lebih teruk lagi dia terus meletakkan penilaiannya sendiri bahawa tajuk artikel itu boleh menyesatkan akidah. Nauzubillahi minzalik.

Tuduhan berat

Artikel saya yang berkenaan menceritakan tentang bagaimana manfaat takaful boleh diuruskan mengikut peruntukan Jadual 10, Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 supaya peserta takaful dapat ‘menjamin’ waris atau sesiapa sahaja yang dikehendakinya dapat menerima manfaat seperti yang dihajati oleh peserta takaful itu. Tiada apa yang menyesatkan akidah di dalam artikel itu.

Yang dipertikaikan pembaca itu ialah perkataan ‘menjamin’ di dalam tajuk artikel itu. Seolah-olah takaful itu lebih besar dari Allah dalam ‘menjamin’ nasib waris. Isi artikel itu yang keseluruhannya menghuraikan secara teknikal peruntukan undang-undang berkaitan tidak pula diulas.

Anda mungkin tidak bersetuju dengan pandangan saya dan ia satu perkara biasa kerana sebagai masyarakat bertamadun kita meraikan perbezaan pandangan tetapi terus meletakkan ‘judgement’ tajuk itu boleh menyebabkan akidah terpesong adalah satu tuduhan yang amat berat.

Memanglah kita tahu segala-galanya di alam fana ini berada dalam kawalan Allah SWT, tetapi kita diberi ruang dan peluang untuk berusaha. Hakikat ini diakui oleh semua orang Islam.

Namun, pemikiran ala ‘jabariyah’ dalam urusan penghartaan ini seolah-olah mengatakan bahawa tidak perlulah kita berbuat atau berusaha apa-apa tentang harta kita kerana segalanya telah ditentukan oleh Allah SWT.

Analogi

Analoginya, kita ini seorang pesakit kanser. Golongan Jabariyah akan cenderung mengatakan tidak perlulah kita berusaha mencari ubat atau membuat rawatan kerana segala-galanya telah ditentukan Allah SWT. Kita bertawakkal sahajalah.

Saya tidak berhasrat untuk menghuraikan panjang lebar berkaitan perkara usaha dan tawakkal kerana masyarakat sudah faham kaitannya dan ramai juga para ustaz telah memperincikannya.

Antaranya, ialah kisah Rasulullah SAW menyuruh sahabat mengikat untanya terlebih dahulu dan selepas itu bertawakkallah kepada Allah SWT supaya unta itu selamat.

Maknanya, kita perlu berusaha mengambil apa-apa tindakan yang perlu terlebih dahulu dan selepas itu berserahlah (tawakkal) kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh.

Saya percaya antara tanggungjawab yang saya galas sebagai kolumnis di ruangan ini selain untuk berkongsi pengalaman dan sedikit pengetahuan tentang isu-isu harta dan pusaka, juga adalah untuk mengajak masyarakat berfikir ke arah satu bentuk pemikiran yang jelas iaitu untuk bertindak merancang harta di dalam ruang lingkup yang dibenarkan hukum syarak dan undang-undang sivil berkaitan semasa kita masih hidup hari ini bagi ‘memastikan’ urusan harta dan pusaka kita kelak tidak bermasalah.

Harta-harta yang telah dirancang dengan jelas semasa pemilik harta masih hidup dapat diwariskan dengan tepat, cepat dan sempurna. Daripada pengalaman 21 tahun saya dalam industri ini, harta-harta yang telah dirancang ini berisiko rendah menjadi punca perbalahan di antara waris.

Ia dapat dilaburkan semula atau diusahakan secara ekonomik bagi meningkatkan lagi ekonomi generasi akan datang. Hasilnya pula dapat dinikmati secara berterusan oleh anak cucu cicit kita.

Janganlah pula perkataan ‘memastikan’ di atas pula dimanipulasi pembaca dengan mengatakan tiada apa yang pasti kecuali dengan izin Allah! Saya hanya mampu mengeruk kepala yang tidak gatal!

 

Leave A Comment

Cart

No products in the cart.