Saya ada jumpa orang yang berkata kepada saya, jika mereka merancang harta melalui hibah, wasiat, harta sepencarian atau amanah, kelihatannya macam mereka tak percaya pula dengan anak-anak. Seolah-olah macam anak-anak ni jahat perangainya dan akan bergaduh kerana harta yang kita tinggalkan. Betul ke pandangan ni?
Saya nak bawa masyarakat melihat dari perspektif berbeza. Saya juga telah merancang harta saya melalui wasiat, hibah dan amanah. Adakah saya tidak percayakan anak-anak saya ? Saya memberi pendidikan terbaik kepada mereka. Saya curahkan sepenuh kasih sayang dan sokongan kepada mereka. Anak-anak ialah orang yang paling saya percayai.
Bila kita merancang harta sebenarnya kita menyediakan ‘payung terjun’ untuk anak-anak. Sekiranya keadaan memerlukan, mereka boleh membuka payung terjun yang telah kita sediakan itu untuk menjamin keselamatan mereka. Sekiranya tidak perlu, maka tidak perlulah dibuka. Bukankah sebagai ibubapa kita mahu memberikan yang terbaik untuk anak-anak kita ?
Merancang harta bukan bermakna kita tak percayakan anak-anak. Ia sebenarnya kaedah untuk mitigasi risiko yang mungkin timbul pada masa depan yang mungkin tidak dapat kita lihat sekarang. Kita mesti faham bahawa pelbagai risiko mendepani anak-anak kita pada masa depan. Selagi kita masih hidup kita boleh mengambil tindakan dan membantu meminimakan risiko-risiko ini tetapi jika kita telah mati ?
Ada anak-anak yang hidupnya bagus dan mewah kerana rezekinya murah. Ada pula anak-anak yang hidup dalam keadaan ‘struggle’ hari ke hari kerana rezekinya terhad.
Ada pula anak-anak yang pasangannya sangat bagus dan supportive tapi dalam masa sama ada pula anak-anak yang pasangannya suka mengambil kesempatan dan ‘queen atau king control’. Kita juga tak boleh baca keadaan ekonomi pada masa depan pos Covid19 ini. Mungkin ada anak-anak yang akan diberhentikan kerja dan terjejas ekonominya.
Ini semua faktor risiko yang mesti diambilkira oleh kita sebagai ibubapa. Kita memiliki harta dan harta ini kita mahukan ia memberi manfaat kepada anak-anak atau generasi akan datang. Membiarkan harta kita begitu sahaja dengan andaian ‘anak-anak aku semua baik-baik dan bagus-bagus’ adalah pandangan yang sangat naif.
Kita seolah membutakan mata kita dari hakikat bahawa ada banyak faktor luaran lain yang mempengaruhi anak-anak kita yang mungkin membawa kepada keperluan membuka ‘payung terjun’ itu. Kita seolah fikir zaman kita hidup dan zaman anak-anak kita hidup pada masa depan ialah zaman yang sama. Sangat naif betul !
Sebenarnya kita merancang harta melalui hibah, wasiat, harta sepencarian atau amanah ialah kerana kita sayangkan anak-anak kita. Kita cuba memitigasi semua risiko masa depan mereka. Bukan kerana kita tak percayakan mereka !
ABS
Daie Mawarith Sepanjang Hayat ( DMSH )