ANDA BUAT WASIYYAH KE WISOYYAH ?

Kongsikan

Sana sini orang bercerita tentang wasiat. Betapa wasiat sangat penting dan tidak boleh tidak MESTI DISEDIAKAN oleh orang Islam. Disebut juga hukum membuat wasiat itu WAJIB. Maknanya kalau tak buat wasiat berdosa hukumnya sebab benda yang wajib kalau tak dibuat memang berdosa. Perbincangan tentang hukum wasiat wajib ini sebenarnya sangat luas tetapi saya hanya nak sentuh satu aspek sahaja.

Kita kena faham apakah maksud dan fungsi wasiat itu terlebih dahulu sebelum terus terima pandangan wasiat itu wajib dan MESTI disediakan oleh orang Islam. Kedudukan wasiat sebagai instrumen mengagihkan harta kepada bukan waris pada kadar 1/3 mengikut hukum syarak itu sangat jelas.

Wasiat kepada waris tidak berkuatkuasa jika tidak dipersetujui oleh semua waris selepas kematian pewasiat. Ini jelas dan tiada khilaf. Untuk elak kekeliruan, kita guna istilah syarak untuk wasiat ini iaitu WASIYYAH. Bidang kuasa menentukan WASIYYAH itu sah atau tidak ialah bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Yang hangat dipromosikan dalam pasaran hari ini, yang disuruh kita membuat wasiat ini bukanlah sangat WASIYYAH ini tetapi sebaliknya satu lagi bentuk wasiat iaitu WISOYYAH.
 
Apa itu WISOYYAH ? Ia adalah dokumen yang melantik wasi iaitu siapa yang kita lantik sebagai pihak yang akan menguruskan harta pusaka kita. Pihak inilah yang akan turun naik mahkamah / pejabat pusaka kecil, mengumpulkan harta kita, membayar hutang kita sehinggalah mengagihkan harta pusaka kepada semua waris yang berhak. Bidang kuasa menentukan WISOYYAH ini sah atau tidak ialah Mahkamah Sivil.
  
Pihak yang mendakwa hukum berwasiat wajib itu sebenarnya mereka merujuk kepada Ayat 180: Al Baqarah yang mana Allah memerintahkan :
“Diwajibkan ke atas kamu, apabila maut menghampiri di antara kamu, jika ada meninggalkan harta, berwasiatlah untuk kedua orang tua dan kaum kerabat dengan cara yang paling baik sebagai kewajiban orang yang bertakwa”
 
Ayat ini sebenarnya merujuk kepada WASIYYAH bukan WISOYYAH. Ayat ini tidak sebut tentang HUKUM WAJIB melantik wasi. Ia menyebut tentang mewasiatkan harta kepada ibubapa dan kaum kerabat. Apapun fuqaha’s sependapat bahawa hukum wajib berwasiat ini sudahpun dinasahkkan apabila kemudiannya turun ayat 11, 12, 176 berkaitan faraid.
 
Jadi masyarakat jangan terkeliru dengan hujah hukum wajib berwasiat. Hukum WAJIB untuk WASIYYAH itu sudahpun dibatalkan apabila turunnya ayat berkaitan hukum faraid. WISOYYAH pula tidak pernah dihukumkan sebagai WAJIB. Kepada yang sudah membuat wasiat, periksa semula kandungan wasiat anda, adakah ia WASIYYAH atau WISOYYAH ?
 
Jadi umat Islam, selidik dahulu bila ada orang menghujahkan WASIAT ITU WAJIB. WISOYYAH itu dari segi hukumnya tidak pernah menjadi wajib. Kalaupun ada kewajaran ia menjadi wajib, ia bergantung kepada situasi individu berkenaan. Bukan wajib kepada semua orang accross the board. Saya akan ulas dalam penulisan seterusnya nanti tentang WISOYYAH. Ada masanya membuat WISOYYAH lebih memberi mudarat kepada waris !
 
ABS
Daie Mawarith Sepanjang Hayat ( DMSH )

Leave A Comment

Cart

No products in the cart.