Seminggu dua ini saya terlibat aktif di dalam perbincangan dengan kawan-kawan tentang bidang kuasa Mahkamah Syariah untuk pengesahan hibah. Kawan-kawan ramai yang terkeliru bila mengaitkan hibah dengan pindahmilik. Majoriti mereka berfikir bahawa hibah tidak sah bila pindahmilik tidak berlaku. Walaupun dijelaskan panjang lebar bahawa hibah sebagai ‘subject matter’ ialah bidang kuasa mahkamah syariah mereka tetap tidak faham.
Semua orang berhak kepada pandangan masing-masing. Itu kita hormati. Semasa saya terlibat di dalam perbincangan Komuniti Syariah di Jabatan Peguam Negara pada 2018 isu bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil hangat dibincangkan. Perbincangan dibuat di kalangan hakim-hakim mahkamah syariah, pengamal undang-undang dan penggiat industri perancangan harta.
Begitu juga apabila saya terlibat di dalam perbincangan penggubalan draf Akta Wasiat Wilayah Persekutuan. Isu bidang kuasa ini amat kami titikberatkan. Setiap patah perkataan dan ayat yang dicadangkan untuk dimasukkan ke dalam akta, mestilah tidak ditafsirkan sebagai ‘encroaching’ bidang kuasa Mahkamah Sivil.
MEMAHAMI KONSEP KUASA EKSKLUSIF MAHKAMAH
Walaupun kita berbeza pandangan dalam pelbagai perkara namun asasnya kita semua perlu faham bahawa mahkamah syariah dan mahkamah sivil mempunyai bidang kuasa eksklusif masing-masing seperti yang termaktub di dalam perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan yang diwartakan pada 10 Jun 1988.
Perkara ini telah memberikan pengasingan kuasa di antara institusi kehakiman syariah dan sivil. Mahkamah syariah selepas tarikh ini bebas membuat keputusan mengikut bidang kuasa yang ditetapkan kepadanya di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Di dalam membincangkan bidang kuasa ini, seseorang mesti mempunyai pemahaman kukuh tentang pengasingan kuasa. Dalam urusan pengesahan hibah, hanya Mahkamah Syariah sahaja yang berbidang kuasa, bukan mahkamah sivil.
KUASA MAHKAMAH SYARIAH
Mahkamah syariah lah yang berhak memutuskan sama ada hibah itu sah atau tidak. Pelaksanaan rukun dan syarat adalah pertimbangan utama mahkamah syariah dalam hal ini. Jika semua rukun dan syarat berjaya dibuktikan telah sempurna, maka hibah itu ialah sah walaupun pindahmilik tidak berlaku.
Di dalam satu alasan penghakiman mahkamah syariah, hakim yang bersidang mengulas, “Proses pindahmilik adalah tertakluk kepada skop pelaksanaan selepas hibah disempurnakan.” Di dalam kes ini, mahkamah mengesahkan hibah yang dibuat simati walaupun pindahmilik tidak berlaku ketika simati masih hidup kerana kepada mahkamah syariah, pindahmilik itu hanyalah skop pelaksanaan sahaja.
Di dalam kes Latifah Mat Zin ( boleh google ) berkaitan hibah yang dibuat simati atas akaun bersama ( joint account ), Hakim Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa, “So far it should be obvious that the matter of succession and the matter of of gifts according to Islamic law, where they involve muslims, are a matters within the judicial jurisdiction of the Syariah court.” Boleh google ada banyak lagi kes seumpama ini.
TAFSIRAN SILAP
Mengaitkan hibah hanya sah jika dipindahmilik adalah serupa dengan ANALOGI seolah kita mengatakan undang-undang Islam ( yang mengikat hibah ) itu adalah sah hanya sekiranya ia mengikut kaedah undang2 sivil ( mesti dipindahmilik ). Ini adalah tafsiran yang sama sekali silap berasaskan Perkara 121(1A) dan kes yang telah diputuskan mahkamah sivil sendiri yang mengiktiraf bidang kuasa mahkamah syariah.
MARILAH MENDAULATKAN UNDANG-UNDANG SYARIAH
Menjadi tanggungjawab kita sebagai orang Islam Malaysia untuk berusaha mendaulatkan undang-undang syariah melalui mahkamah syariah. Di saat Perlembagaan telah pun mengiktiraf undang-undang syariah semenjak 1998 hasil perjuangan tokoh-tokoh perundangan Islam seperti Allahyarham Prof Ahmad Ibrahim, kita sebagai orang Islam hari ini pula bersungguh-sungguh mahu mengundur ke belakang dengan mengikat undang-undang syariah itu dengan undang-undang sivil.
Realitinya, konflik ini memang wujud. Kitalah yang kena berusaha keras mendaulatkan undang-undang syariah mengikut skop kuasa yang diperuntukkan kepadanya. Di Wasiyyah Shoppe Berhad, inilah yang kami sudah,sedang dan akan terus lakukan iaitu mendaulatkan undang-undang syariah.
Saya menyeru kepada rakan-rakan di luar sana, marilah kita sama-sama berusaha sedaya upaya kita menjadikan undang-undang syariah itu berdaulat di Tanah air tercinta ini. Kalau bukan kita siapa lagi ?
ABS
Daie Mawarith Sepanjang Hayat ( DMSH )